
KUALA LUMPUR - Seramai 40 ahli Persatuan Peniaga Kuala Lumpur 1Malaysia (PPKL1M) membantah tindakan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) yang mengarahkan mereka menghentikan operasi perniagaan di tapak gerai di Lot 152, Jalan Ampang di sini semalam.
Seorang peniaga, Amran Shariff, 54, berkata, arahan Matic agar mengosongkan kawasan itu tidak wajar kerana mereka baru berniaga di kawasan itu pada 14 Mac lalu.
"Baru enam bulan mencari rezeki, kami menerima surat pada Julai lalu agar berhenti berniaga pada 31 Ogos atas alasan Matic mahu membaik pulih kawasan perniagaan itu.
"Rata-rata peniaga sudah membuat pinjaman sehingga ratusan ribu dan berhenti bekerja untuk berniaga di tempat tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Amran yang berniaga barangan kulit berkata, dia kesal kerana Matic tidak berjumpa dan berbincang dengan peniaga terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan berkenaan.
Peniaga pakaian, Sobri Osman, 52, berkata, tindakan Matic akan menyebabkan peniaga menanggung kerugian besar dan dibelenggu hutang.
"Saya telah buat pinjaman sehingga RM100,000 dengan perjanjian selama lima tahun semata-mata hendak berniaga di sini.
"Bagaimana saya mahu menjelaskan pinjaman kerana baru berniaga enam bulan dan masih belum dapat pulangan modal dan keuntungan," katanya.
Sementara itu, seorang pemilik gerai makanan, Norhayati Abdul Aziz mendakwa kakitangan penyelenggara bertindak memotong kabel elektrik bagi mengusir peniaga dari kawasan berkenaan.
Tambahnya, PPKL1M telah membuat laporan polis pada 23 September lalu di Balai Polis Jalan Dang Wangi ekoran tindakan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: