Sunday, September 18, 2011

Akhirnya kebenaran muncul juga


MENGAKUI perasaannya kini lebih tenang selepas tidak lagi dikaitkan dengan pelakon Shah Jaszle.


TIDAK ada apa yang dapat diungkapkan dengan kata-kata tatkala melihatkan orang lain mengecapi kebahagiaan. Luruh segala beban yang ditanggung selama ini apabila melihat orang yang pernah dikaitkan dengan dirinya sedang menyulam bahagia.

Bagi pelakon Jiwa & Lara ini tidak ada apa yang mampu dizahirkan selain berdoa kebahagiaan Shahz Jaszle dan pelakon baru Miera Liyana yang sedang enak berkasih.

Sambil mengakui Shahz Jaszle sebagai lelaki yang cukup baik sebagai seorang teman, dia yakin mereka mampu mengecap bahagia seperti mana yang diinginkan.

Selama ini orang sering menganggap dirinya sebagai orang ketiga yang meruntuhkan kebahagiaan Shahz Jazle dan pelakon Maria Farida. Nama Neelofa Mohd Noor yang naik panas dengan gosip dan cerita kurang benar yang menghimpit perjalanan karier seninya.

Diasak dengan pelbagai spekulasi, dianggap sebagai orang ketiga yang menggugat kebahagiaan pasangan itu sehinggalah namanya sering kali dikaitkan sebagai suri di hati lelaki muda itu.

Pun, akhirnya kebenaran muncul juga. Cakap-cakap orang yang menuduh dirinya dengan pelbagai tomahan akhirnya lenyap dek pengakuan merpati dua sejoli itu.

“Hendak tahu perasaan Lofa? Sudah tentu sangat-sangat lega dengan pengakuan Shahz Jazle bahawa dia mencintai Miera Liyana itu. Maknanya, kalau benar mereka sekarang ini sudah jadi pasangan kekasih dan membuat pengakuan, Lofa tidak lagi menjadi mangsa tohmahan orang.

“Selama ini Lofa hanya diam sebab tak nak keruhkan lagi keadaan. Orang tak henti kata itu dan ini. Sampaikan satu tahap, Lofa memang benar-benar tak tahan dengan kata-kata yang dilemparkan.

“Bila nama Lofa dikaitkan sebagai perampas, siapa yang tak sedih. Lagi-lagi memang Lofa tak pernah buat kerja jahat macam tu.

“Sekarang Lofa lega sangat-sangat sebab semuanya dah berakhir. Akhirnya spekulasi tentang itu dah padam dan orang tahu juga siapa yang benar atau salah.

“Kalau nak cakap pasal gembira, memang Lofa orang yang paling gembira sekarang. Setidak-tidaknya Lofa boleh fokus pada perkara lain dan terus melupakan kesengsaraan yang Lofa pernah hadapi selama ini,” katanya yang mesra disapa dengan nama Lofa.

Percaya kepada karma

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kalau mata yang memandang sudah rasa berat, apatah lagi yang melaluinya.

Bagai tak ada kesudahan bila berbicara kisah pelakon filem Azura 2012 ini. Lepas satu perkara terus ke perkara yang lain, semuanya terpaksa dijunjung atas jemala kepalanya.

Sejak awal penglibatannya sebagai anak seni, sudah puas dia dihentam. Orang keliling bagaikan tidak pernah jemu untuk melihat dirinya tersungkur sebelum mengecap apa-apa kejayaan.

Kalau ada yang masih ingat dia pernah terhimpit dalam kontroversi pertandingan yang menaikkan dirinya. Lemparan kata-kata nista bagai membalut tubuhnya supaya tidak melangkah jauh.

Terheret dalam kontroversi meruntuh hubungan cinta lelaki pujaan ramai itu, cerita Neelofa tidak habis setakat itu apabila dia dituduh bermasam muka dengan seorang pelakon.

“Apa lagi yang orang nak buat pada saya? Orang lain sebenarnya yang sering menjerat saya ke kancah.

“Bagaimanapun, saya percaya pada karma. Kalau hari ini kita buat orang, lambat laun kita akan dapat balasan sama seperti apa yang kita dah buat.

“Cukup-cukuplah buat nama saya panas. Memang tiap-tiap cerita panas itu memberikan impak pada saya kembali, tapi janganlah dengan cara memanaskan cerita saya,” jelasnya lagi.

Meninggalkan semua itu dalam lipatan sejarah, Lofa akur pada ketentuan. Semakin banyak dia diuji semakin banyak perkara baru yang dipelajarinya.

Apa yang pasti Lofa cukup berhati-hati dalam soal persahabatan kerana kadang-kala persahabatan yang dijalin dengan rasa yang cukup ikhlas itulah yang akan memakan diri.

Bukan satu atau dua cerita yang didengar, dilihat dan dilalui. Sudah banyak cerita kawan makan kawan yang akhirnya mendatangkan gelora yang cukup besar. Lantas ia membutakan dirinya berhati-hati memilih siapa kawan.

“Kalau nak tahu Lofa memang berkawan dengan semua orang. Kalau tanya siapa kawan baik Lofa, memang tak ada. Bukan apa, Lofa susah nak percaya pada orang.

“Baik dengan Lofa tak bererti Lofa akan cerita segala hal dengan mereka. Lebih baik Lofa bercerita pada ahli keluarga sendiri atau dengan sepupu-sepupu Lofa kerana mereka darah daging Lofa.

“Bab persahabatan ni memang cukup sensitif. Selagi mampu berbuat baik, Lofa akan cuba buat baik dengan semua orang,” tambahnya.

l Sering berendam airmata

MELIHATKAN raut wajah gadis ini tidak ada siapa yang dapat menyelam apa yang tersirat dalam sanubarinya. Semakin lama berbicara dengan gadis berusia 22 tahun ini semakin banyak debar yang dirasa.

Tidak pernah berniat untuk menyembunyikan apa-apa, kata Lofa dia cukup sedar yang liku sebagai anak seni ini tidak semudah yang disangka.

Orang seringkali melihat perjalanan dirinya cukup indah tanpa sebarang masalah besar sedangkan hakikat itu tidak seindah mana. Sama seperti insan seni yang lain, Lofa pernah merasakan kesengsaraan itu.

Akui anak ketiga ini lagi, pernah satu ketika dia menangis mengenangkan peristiwa yang pernah terjadi padanya. Hampir kering air mata bila membaca cerita yang kurang enak tentang dirinya yang cukup menghiris sanubari.

Apa lagi yang mampu dilakukan oleh gadis kecil molek ini selain menangis sendirian. Air mata yang tumpah masih belum dapat menghilang segala cerita buruk dirinya tapi setidak-tidaknya dia hanya itu jalan yang dia ada.

“Pernah satu ketika Lofa menangis sambil menjerit dalam bilik. Tak tahu apa nak buat bila orang masih terus memburuk-burukkan Lofa. Apa teruk sangatkah aku ni? Kenapa orang sibuk menjaja kisah buruk Lofa?

“Berendam air mata tu dah memang selalu sangat. Lofa tak malu nak akui sebab itu memang terjadi pada Lofa.

“Padahal dalam keluarga, Lofa merupakan orang yang paling susah hendak menangis. Memang air mata Lofa jarang tumpah berbanding adik beradik yang lain. Barangkali tekanan sebagai anak seni itu yang membuatkan Lofa menyerah kalah.

“Lagi banyak air mata yang tumpah lagi kuat azam Lofa nak jadi yang terbaik. Kalau boleh Lofa nak setiap titis air mata itu berbayar dengan kejayaan Lofa pada masa hadapan.

“Itu memang azam Lofa bila keadaan kembali tenang. Untuk apa terus

mengalirkan air mata sedangkan tak ada kejayaan yang kita kecapi untuk diri sendiri,” katanya.

l Lelaki terakhir di hati

“LELAKI akan duduk di tangga terakhir dalam senarai Lofa buat masa ini. Yang pertama Lofa akan dahulukan keluarga, pelajaran, bisnes dan barulah lelaki.

“Untuk apa mendahulukan lelaki pada masa ini. Lofa masih muda dan masih banyak lagi perkara yang perlu dicapai untuk jaminan masa hadapan.

Kalau semua impian dah tercapai, barulah Lofa fikir tentang lelaki mana yang akan menjadi pelindung masa hadapan,” kata Lofa saat diminta menjelaskan status terkininya.

Sambil menyatakan dia masih single, Lofa cukup mengharapkan pada masa hadapan

dia akan bertemu dengan lelaki yang benar-benar baik untuk dirinya. Tidak lokek berkongsi ciri-ciri lelaki idaman, jelas Lofa dia mencari lelaki yang ada gaya dan cukup sensitif dengan apa yang dia mahu.

“Lelaki mesti pandai buat keputusan. Tak kira keputusan besar atau kecil, lelaki yang Lofa suka mestilah tegas dan pandai menentukan apa sahaja. Kalau sampai bab makan pun Lofa nak tentukan, itu memang masalah pada Lofa.

“Kalau letak ciri-ciri yang khusus memang kita tak jumpa. Tak kisah lelaki usia mana semuanya mesti ada ciri-ciri itu. Tapi Lofa harap akan jumpa yang sama baya atau tua dua atau tiga tahun dari Lofa,” katanya tertawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: