Tuesday, April 19, 2011

Zizan nafi jaga standard




SEMAKIN seseorang selebriti itu meningkat popular, semakin banyak jugalah cerita kurang manis akan cuba didedahkan. Atau tidak kurang juga cerita tidak elok itu ’terdedah’ dengan sendirinya.

Nama Zizan sejak akhir-akhir ini begitu pantas mendaki tangga populariti. Apatah lagi dia dinobatkan sebagai Artis Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular 2010.

Graf populariti pemilik nama sebenar Mohd. Razizan Abd. Razak itu disempurnakan lagi apabila dia bersama Dira Abu Bakar diberi kepercayaan sebagai hos baru program Melodi.

Namun, apa yang paling menarik perhatian umum adalah sudah tentu hubungannya yang dikatakan agak rapat dengan aktres jelita Juliana Evans.

Namun, di sebalik pelbagai perkara positif dialami pemuda berusia 27 tahun itu, tiba-tiba angin gosip bertiup kencang mendakwa Zizan dikatakan lagi tidak mahu melepak dan makan di gerai-gerai tepi jalan.

Adakah mungkin Zizan berasa dirinya tidak sesuai berada di situ kerana popularitinya meningkat ataupun kerana mahu menyamakan standard dengan Juliana Evans?

Zizan yang ditemui pada persembahan Minggu Setiausaha Anita Sarawak dan Noryn Aziz di di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini agak terkejut apabila diajukan dengan persoalan tersebut.

Dengan nada sedikit serius, jawab Zizan: “Siapa yang kata begitu? Baru-baru ini ada saya lepak-lepak di gerai begitu. Jue (nama panggilan ringkas Juliana Evans) pun pernah juga lepak di gerai begitu.

“Terus-terang saya katakan, saya tidak boleh lari daripada makanan-makanan kampung seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ini kerana makanan di situ mengingatkan saya kepada masakan di kampung.”

Tambah pemuda kelahiran Dungun, Terengganu itu, setiap kali dirinya terkenang keluarga dan masakan ibu, dia pasti akan ke kawasan berkenaan untuk mencari makanan kampung kegemarannya.

“Jika ke restoran mahal, bagaimana ia boleh membuatkan saya kenyang?” soal Zizan yang menyatakan menikmati hidangan di restoran mahal tidak bermakna akan membuat perutnya kenyang berbanding makan di gerai-gerai tepi jalan.

Kedengaran sedikit kecewa dengan apa yang diperkatakan mengenai dirinya itu, Zizan mengakhiri jawapannya dengan mengatakan perkara ini merupakan suatu kenyataan sumbang kerana baginya, dia tidak pernah lupa daratan sehingga tidak lagi mahu makan di gerai-gerai biasa.

ABP & Melodi

Zizan adalah antara nama yang disebut-sebut akan memenangi Artis Paling Popular di ABP 2010. Namun, Zizan telah tewas di tangan aktor Shaheizy Sam.

“Saya terima dengan hati yang terbuka kerana ia adalah rezeki masing-masing. Sebenarnya, rezeki tidak akan pernah kita ketahui dan nampak. Begitu juga dengan malang yang sentiasa dikatakan tidak berbau,” ulas Zizan jujur dan reda dengan apa yang telah ditakdirkan.

Bagi anak bongsu dari dua beradik ini, dia berpuas hati dengan kemenangan yang telah diperoleh Sam pada malam tersebut.




Katanya, Sam adalah calon yang paling layak kerana kejayaan filem-filem lakonannya yang telah pun meraih kutipan pecah panggung.

“Pada pendapat saya, tidak mustahil dia menang setelah apa yang dikecapinya sepanjang pembabitan dan kecemerlangannya di dalam industri seni tanah air. Ia merupakan perkara yang tidak mustahil. Tahniah untuk Sam!,” tutur Zizan yang kini sedang sibuk dengan program Melodi dan program realiti terbitan Astro, Maharaja Lawak.

Berbicara pula mengenai pengalamannya menjadi pengacara baru bersama pasangannya Dira Abu Zahar dalam program Melodi, Zizan mengakui ia merupakan suatu pengalaman yang menakutkan kerana pada kebiasaannya mereka bergantung kepada bekas pengacara Melodi sebelum ini iaitu Fara Fauzana (atau dikenali juga Fafau) dan Wahid Senario.

“Kebiasaannya kita bergantung kepada Wahid dan Fafau akan tetapi kali ini, hanya saya dan Dira sahaja dan kami kini saling bergantungan. Jadi dengan keadaan ini, ia mengharuskan kami untuk membuat rujukan yang lebih dan perlu mengambil tahu tentang perkara ini,” ujar Zizan.

Jodoh

Selepas menyebutnya di ABP 2010, Zizan mengulanginya di acara persembahan Minggu Setiausaha Anita Sarawak dan Noryn Aziz di SACC. yang mana ungkapan seakan-akan ibunya mahukan menantu berwajah Pan-Asia yang mungkin seakan-akan dituju kepada pasangan pengacaranya pada hari tersebut iaitu Juliana.

“Itu hanya gurauan semata-mata dan saya lihat ia sebagai hiburan. Jika saya sebut ketika sidang akhbar atau sebagainya, mungkin juga ia adalah perkara betul. Saya juga rasa orang tahu yang ia bukan suatu yang serius.

“Saya juga sering sampaikan perkara itu dalam nada gurauan bukannya serius. Padahal, ibu saya tidak pernah pula memesan begitu pada saya,” jelas Zizan diselangi ketawa kecil.

Tambahnya: “Cuma ibu saya pernah berpesan, jika saya mahu bekerja, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Jika sudah bersedia, beritahu padanya, tidak kisahlah siapa pilihan saya.

“Namun setakat ini, saya akui saya belum bersedia lagi ke arah hubungan yang lebih serius. Apa yang saya mahu katakan, saya tengah jatuh cinta dengan kerja saya dan keluarga adalah yang utama,” jelasnya sambil mengulas hubungannya bersama Juliana tidak lebih dari seorang rakan biasa.

Juliana bukan punca

Dalam pada itu, Juliana pula ketika diminta mengulas mengenai penampilan Zizan yang dilihat semakin bergaya selepas semakin rapat dengannya, dia menafikan dirinya ada kaitan dengan hal tersebut.

“Kemungkinan ia merupakan keputusan Zizan sendiri untuk menukar penampilan yang lebih segak. Mungkin itu sebenarnya diri dia. Penampilan dia rasanya, tiada kena-mengena dengan saya. Itu adalah keputusannya sendiri,” ujarnya.

“Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu, bagi pendapat saya, dia seorang yang sukakan fesyen dan bergaya.

“Kadangkala dia ada juga bertanya pendapat saya mengenai fesyen atau barangan yang dibelinya. Sebagai rakan, saya hanya membantunya dengan memberikan pendapat saya, itu sahaja,” ungkap Juliana.

Mengakui sibuk dengan rutin seharian, Juliana menegaskan: “Saya dan Zizan sudah jarang melepak sama kecuali kebetulan terjumpa semasa bekerja bersama di dalam acara atau majlis-majlis.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: