Thursday, April 28, 2011

Terjebak akibat pengaruh rakan


Kebebasan muda-mudi di kelab malam boleh menjerumus ke kancah maksiat. - Gambar hiasan


PEPATAH ada mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya. Untuk itu, apa jua yang hendak dilakukan perlulah difikirkan kebaikan serta keburukannya terlebih dahulu agar ia tidak mendatangkan kekesalan yang berpanjangan.

Bagaimanapun, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segalanya.

Bagi Mimi, apa yang telah berlaku dalam kehidupannya hari ini bukanlah kehendaknya. Namun apakan daya, dia juga merupakan insan biasa.

Hari ini, selain berendam air mata menyesali apa yang berlaku Mimi hanya mampu berserah kepada Tuhan selain bertaubat memohon keampunan daripada-Nya.

Mendapat didikan agama yang sempurna daripada kedua ibu bapanya, masih belum cukup untuk menjamin Mimi menjadi seorang anak yang baik.

Menurut Mimi, walaupun diberi pendidikan yang secukupnya, dia 'kalah' dengan godaan kawan-kawan apatah lagi ketika itu dia tinggal berjauhan dengan keluarga.

Daripada seorang anak gadis yang bertudung, akhirnya Mimi menjadi remaja liar.

Bukan setakat tudungnya 'hilang', bahkan dia mula pandai mengunjungi kelab-kelab malam.

Tetapi Tuhan masih menyayanginya dan dia kembali ke pangkal jalan dan menjadi anak yang solehah.

Menyingkap kisah lalu dan bercerita bagaimana dirinya yang kini hamil, menurut Mimi, setelah tamat pengajian, dia telah diterima bekerja di ibu kota.

Dari situ kawan-kawan lamanya (kawan perempuan) mula mencarinya. Akibat pujukan dan ingin merasai kehidupan yang bebas, akhirnya Mimi diperangkap sendiri oleh kawan baik tersebut.

''Akibat tersalah pilih kawan, beginilah akhirnya. Saya menyesal dengan apa yang telah terjadi tetapi apakan daya, tidak guna menyesali apa yang telah terjadi.

''Saya sesungguhnya tidak menyangka, kawan baik sendiri sanggup berbuat begitu dan saya tahu segala-galanya telah dirancang.

''Bermula dengan ajakan keluar kemudian ikut balik ke rumah dan akhirnya saya 'terkulai' di tangan lelaki yang tidak saya kenali,'' ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pada peringkat awal Mimi berjaya menyembunyikannya daripada keluarga.

Tetapi apabila usia kandungan itu mencecah empat bulan ia sudah tidak mampu disembunyi dan keluarga mula mengetahui.

Bagaimanapun Mimi bersyukur kerana keluarga masih menyokong dan tidak menyisihkannya.

Namun, dia tetap berhadapan dengan dilema sama ada ingin terus membela anak yang dikandung atau berikan kepada orang selepas dilahirkan.

Menurut Mimi, sebagai seorang ibu, dia tidak sampai hati tetapi menyerahkan segala-galanya kepada ibu bapanya.

"Kalau ikutkan hati, saya ingin menjaga anak ini tetapi apabila memikirkan masa depannya, hati saya berbelah bahagi.

"Buat masa ini saya belum membuat keputusan tetapi setelah anak ini lahir, barulah keputusan sama ada ingin terus menjaga atau menyerahkan kepada keluarga angkat akan diputuskan.

"Cukuplah saya menyusahkan keluarga dan menghancurkan hati mereka,'' jelasnya.

Apabila ditanya mengapa tidak menggugurkan sahaja kandungan tersebut, jelas Mimi, walaupun dia tidak mengetahui siapa bapa kepada anaknya, dia masih lagi mempunyai hati dan perasaan kerana bayi yang dikandungnya itu tetap darah dagingnya sendiri.

Ketika ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis sahaja sekiranya betul dia dirogol, ujarnya sudah pasti tiada siapa yang akan mempercayai kata-katanya kerana sebelum ini dia memang seorang remaja liar.

Mengenai perancangan masa depannya selepas melahirkan anak, ujar Mimi, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mencari pekerjaan untuk membantu keluarga.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertaubat dan telah berjanji dengan dirinya tidak akan menyusahkan keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: