Thursday, April 28, 2011

Amir dapat pujian


AKSI Amir dalam Gelanggang Maharaja Lawak di Studio Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.


SABAN minggu Amir merupakan antara peserta Maharaja Lawak yang sering mendapat kritikan kurang enak daripada para pengkritik pertandingan lawak jenaka itu.

Bagaimanapun, peserta berusia 23 tahun itu menunjukkan prestasi idea dan persembahan lawak yang bukan sahaja menghiburkan para penonton tetapi juga para pengkritiknya.

Mamat Khalid, salah seorang pengkritik Maharaja Lawak cukup kagum dengan lonjakan persembahan Amir pada Gelanggang Maharaja Lawak minggu keempat baru-baru ini.

Menurut pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu, Amir berjaya membuktikan dia mampu bangkit dengan persembahan terbaik berbanding sebelumnya.

"Malam ini, kami bertiga (para pengkritik) berpendapat Amir akan terkeluar kalau persembahan sama seperti sebelumnya. Dia seperti tiada harapan.

"Bagaimanapun, malam ini Amir membuktikan dia seorang yang kreatif. Dia berjaya mengubah keyakinan kami. Sebab itu, saya rasa dia layak mendapat pujian," komennya.

Mamat memberi komen itu selepas Gelanggang Maharaja Lawak minggu keempat di Studio Finas, Hulu Klang, Selangor yang menyaksikan persembahan Amir menarik perhatian ramai.

Dua lagi pengkritik Maharaja Lawak Ahmad Idham dan Saiful Apek turut memuji persembahan Amir tersebut.

Pada gelanggang itu, Johan berada di tangga teratas undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton dengan mendapat 61 peratus, Nabil (58 peratus) dan Sepah (54 peratus).

Sementara Jambu pula mendapat 53 peratus undian SMS, Balas (45 peratus), Amir (peratus), Man (31 peratus), Jihan (29 peratus) dan Alex yang paling rendah sebanyak 28 peratus.

Amir atau Mohammad Amirullah Azmi berkata, dia tidak menyangka persembahan pada malam itu paling mendapat sambutan para penonton dan juga pengkritik.

"Saya tidak pasti di mana kelebihan saya malam ini. Apa yang pasti saya berlawak dengan menyebut setiap perkataan secara perlahan-lahan agar mudah difahami penonton.

"Pendekatan itu juga menyebabkan saya banyak tertinggal isi dalam lawak saya kerana cara itu mengambil masa. Selain itu Syem (peserta Raja Lawak 2) banyak membantu saya dalam hal ini.

"Dia memberi idea termasuklah melukis karikatur Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek untuk saya gunakan dalam persembahan saya malam ini," ulasnya.

Sementara itu, Alex menjadi peserta terbaru yang disingkirkan daripada Maharaja Lawak kerana mendapat undian SMS paling rendah.

Alex atau Alexander Ahat, 30, dari Sabah berkata, dia akur dengan keputusan itu tetapi pada masa sama tidak akan putus asa dalam usahanya untuk mencipta nama sebagai pelawak.

"Saya akui memang rasa tertekan kerana bersaing dengan para peserta lain yang hebat-hebat.

"Mereka semua diibaratkan sebagai cemerlang tetapi saya cuma sekadar kepujian sahaja.

"Selepas ini saya mahu terokai pula bidang penulisan skrip komedi. Selama ini ada orang yang tulis skrip komedi tetapi apabila dibuat filem atau drama ia tidak kelakar.

"Dalam hal ini, saya yakin mampu melakukannya. Saya akan cuba menceburi bidang ini dengan serius. Saya mahu menjadi macam penulis skrip komedi di luar negara yang berkaliber.

"Walaupun badan saya ini besar tetapi saya sebenarnya kerdil dalam bidang ini.

"Apa pun saya akan mencuba dalam bidang ini termasuklah menulis skrip untuk telemovie," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: