WAWANCARA Sofa Putih bersama Monoloque anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di PWTC.
TIADA Kata Secantik Bahasa, judul lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diubahsuai oleh seorang seniman muda tanah air, Loque atau Khairil Rizwan, 34, cukup sedap didengar halwa telinga.Memartabatkan Bahasa Melayu yang tidak akan hilang dek zaman, usaha bekas anggota kumpulan Butterfingers ini perlu diberi pujian kerana mengangkat bahasa kebangsaan di dalam barisan lagu ciptaannya.
“Walaupun pada mulanya Butterfingers merakamkan lagu Inggeris, beberapa tahun selepas itu kami menghasilkan album bahasa Melayu yang diberi judul Kembali.
“Saya merasakan seolah saya berpura-pura apabila menyanyikan lagu Inggeris, dan oleh sebab itu saya lebih selesa menyampaikannya dalam Bahasa Melayu kita.
“Kita tidak perlu segan dengan imej kampung kita. Kita tidak perlu malu dengan Bahasa Melayu kita dan kita perlu berani untuk tampil ke hadapan. Saya seorang seniman yang suka menghasilkan sesuatu yang lain dari lain.
“Oleh itu, saya banyak mengkaji hasil seni idola saya, P Ramlee untuk tampil berbeza dari apa yang sudah ada di dalam dunia hiburan tanah air kita hari ini,” katanya yang ditemui di Dewan Tun Razak, Putra World Trade Centre (PWTC) bagi sesi temu bual bicara bersama Syed Munawar Sayed Mustar, berkenaan budaya keilmuan kendalian Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).
Temu bual ini membicarakan mengenai peranan Monoloque sebagai selebriti dalam mempromosikan budaya keilmuan dan pembacaan melalui industri hiburan.
Sementara itu, pejuang Bahasa Melayu ini bukan saja bergerak sebagai penyanyi, malah turut terbabit dalam mengubah dan menghasilkan lagu serta lirik, juga mencipta skor filem.
Sebelum ini hanya mencipta lagu dan lirik untuk kumpulannya Butterfingers dan Monoloque, kini Loque bercita-cita untuk membuat sedemikian untuk artis yang lain.
Taksub dengan P Ramlee, R Azmi
KINI graduan kolej muzik tersohor ini, sibuk menghasilkan muzik latar belakang untuk sebuah filem yang dibintangi oleh Bintang Paling Popular 2010 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010), Shaheizy Sam, yang akan ditayang pada November ini.
Tidak sabar untuk melihat hasil karyanya, di mana kita boleh mendengar lagu ciptaan Loque agak berlainan dari penyusunan muziknya dan liriknya yang penuh dengan maksud tersirat.
Sebagai contoh, lagunya yang berjudul ‘Jika Saya Seorang Robot’ banyak memainkan elemen elektronik yang kedengaran begitu berbeza.
Bertanyakan mengenai sumber inspirasi, Loque berkata ia datang dari keadaan sekeliling, masyarakat dan karya lama.
“Saya suka melihat kehidupan dari sudut gelap dan pada masa yang sama membuat eksperimen terhadap manusia yang terdapat di sekeliling saya.
“Selain itu, sumber utama saya juga adalah karya klasik dari P Ramlee dan R Azmi kerana saya memang obses dengan mereka. Saya banyak mengkaji dan menganalisis karya mereka dari sudut yang berlainan.
“Saya mengubah suai lagu P Ramlee tapi tetap mengekalkan melodinya. Saya cuba lari dari kebiasaan, di mana orang lain suka buat muzik video yang kelihatan seperti negara barat namun tidak bagi saya, saya lebih gemarkan gaya seperti Datuk M Daud Kilau. Kita seharusnya memandang tinggi budaya kita sendiri,” ujarnya.
Manakala, Monoloque pula akan mengeluarkan sebuah album yang diberi judul Halimunan Abad Ke 21, dalam tahun ini.
Monoloque adalah sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh Loque dan ahli kumpulan Butterfingers, sejak Emmet, vokalis Butterfingers berpindah ke Kanada. Menurut Loque, walaupun ketiadaan Emmet, elemen dan rempah ratus Monoloque tetap sama seperti Butterfingers.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: