ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Allah menguji Nabi Ibrahim dengan beberapa kalimat lalu disempurnakan jawapannya. Allah berfirman: Sesungguhnya aku akan menjadikan engkau Imam kepada seluruhnya. (al-Baqarah: 124)
Menerusi ayat ini Allah memberitahu bahawa Nabi Ibrahim dilantik sebagai Imam Pertama kepada manusia di atas muka bumi ini. Imam di sini bukan sahaja sebagai pemimpin pada waktu sembahyang sahaja atau urusan berkaitan hal-hal ibadat di masjid.
Sebaliknya imam ini berperanan lebih luas antaranya mengimarahkan masjid, memastikan karamatulinsan dan mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
Tahun 2010 sudah berlalu tetapi ia meninggalkan suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan iaitu tercetusnya satu program oleh TV Astro Oasis yang dikenali dengan Program Imam Muda (IM).
Program ini adalah julung kali diterbitkan. Ia program pencarian remaja lelaki Islam menerusi uji bakat, dihimpunkan 10 orang selama tiga bulan untuk mencari seorang Juara IM yang bijak dalam memahami tentang hal keagamaan dan kepemimpinan Islam.
Sejak awal lagi saya dimaklumkan oleh pihak Astro Oasis untuk melibatkan saya dalam rancanganini sebagai mudir (pengetua).
Sejurus ditawarkan jawatan tersebut sudah terbayang dalam fikiran saya ini suatu program yang hebat. Seterusnya akan mengangkat martabat dan maruah para imam khususnya dan seluruh umat Islam.
Saya juga sudah merasai bagaimana untuk memperkembangkan peranan anak muda yang terpilih ini bagi menjayakan sebanyak 13 episod IM musim pertama.
Tugas saya sebagai mudir adalah memastikan keseluruhan aktiviti berjalan lancar. Kemudian, memberi cadangan dan pandangan terhadap tugasan dan aktiviti IM. Ketiga, sebagai ketua juri dan penasihat program IM. Yang terakhir, menjadi rujukan hal ehwal agama sepanjang program ini.
Pada peringkat awalnya, Astro Oasis mengadakan perbincangan demi perbincangan dengan melibatkan tokoh alim ulama, ahli akademik untuk mengatur silibus dan cara-cara menyampaikan program ini dengan sokongan dan latihan mereka yang terpilih.
Setelah ujian pemilihan diiklankan menerusi televisyen dan surat pekeliling ke seluruh Malaysia, ternyata sambutan anak-anak muda amat memberangsangkan.
Lebih 1,000 orang memohon berdasarkan zon-zon yang ditetapkan dengan mengambil kira bacaan al-Quran, kebolehan berpidato serta mahir dalam Bahasa Inggeris dan Arab.
Akhirnya, pihak penganjur memilih 10 peserta IM bagi memulakan siaran julung kali pada 28 Mei 2010.
Para peserta IM ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan selama tiga bulan. Sepanjang masa tersebut mereka diberi bimbingan dan tunjuk ajar oleh mudir, mursyid dan para muallim dengan subjek-subjek yang telah dipastikan bagi membantu kecemerlangan para imam tersebut.
Antara penekanannya adalah subjek hafalan al-Quran dan tasmi' termasuklah qiraat, tajwid, tarannum, akidah, fikah, pengucapan awam, uslub dakwah dan penguasaan Bahasa Arab serta Inggeris.
Mereka juga dikehendaki mengambil ujian bertulis dan praktikal bersesuaian dengan tema-tema yang telah ditetapkan.
Saya dapati para peserta IM mempunyai minat dan kesungguhan serta latarbelakang pendidikan yang hebat. Ada yang berkelulusan dari Asia Barat dan pusat pengajian tinggi tempatan untuk menyemarakkan lagi pencapaian dan persembahan setiap kali Medan IM diadakan. Mereka juga mempunyai suara yang baik dan ilmu pengetahuan mendalam mengenai tema-tema yang ditetapkan.
Di kalangan mereka tersebut ada yang sudah berkeluarga, sudah mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang terlibat dalam bidang perniagaan dan lain-lain.
Pada musim pertama, ramai wartawan dalam dan luar negara datang ke tempat latihan dan persembahan IM. Ia bagi melihat lebih dekat lagi bagaimana cara program ini diatur dan terus kepada kemuncaknya iaitu persembahan di Medan IM.
Akhirnya rancangan ini diulas dan dipanjangkan ke media elektronik lain dan juga akhbar. Mereka juga mencari maklumat melalui Internet, Facebook dan sebagainya yang boleh diikuti oleh seluruh umat Islam di merata tempat.
Pada malam penentuan juara Julai tahun lalu, kehadiran penonton adalah luar biasa di Dewan Muktamar Kuala Lumpur bagi menyaksikan dua peserta berentap untuk muncul sebagai Juara IM.
Akhirnya Asyraf Ridzuan dari Pulau Pinang diumumkan sebagai Juara IM, naib juara pula jatuh kepada Hizburrahman Omar Zuhdi dari Kedah.
Bermulalah, IM menjadi satu fenomena dalam masyarakat Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: