SELEPAS tiga minggu konsert Mentor musim kelima (Mentor 5) diadakan, Erra Fazira selaku mentor dan protegenya, Salma masih berada di tangga teratas daripada segi pungutan markah.
Secara keseluruhan mereka mengaut markah tertinggi iaitu 237 selepas dicampur markah konsert minggu pertama, kedua dan ketiga mengalahkah lima peserta lain.
Erra menafikan kejayaan itu banyak dipengaruhi oleh popularitinya berbanding empat lagi mentor lain iaitu Datuk Sharifah Aini, Noh, Rahim Maarof, Edry Abdul Halim dan Afdlin Shauki.
Sebaliknya, dia beranggapan faktor bakat, persembahan dan pemilihan lagu serta penyanyi yang digandingan bersama Salma pada setiap persembahan membantu protegenya itu.
" Saya tidak setuju kalau protege saya itu mendapat markah tertinggi baik dalam Kumpulan A atau Kumpulan B kerana menumpang populariti saya, tetapi ia berdasarkan sokongan penonton.
" Ramai penyokong yang semakin percaya dengan Salma. Apatah lagi, malam ini dia berduet dengan Azlan (The Typewritter) di mana lagu itu sedang popular, begitu juga dengan penyanyinya.
"Lagu Jeritan Batinku yang Salma duetkan bersama Azlan itu juga popular dan ia amat mencabar untuk dibawakan. Ia menguji kemampuan vokal Salma yang sebenar.
" Saya pula memang selalu mencabar dia untuk menyanyikan lagu-lagu yang mencabar," katanya selepas Konsert Minggu Ketiga Mentor 5 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengkritik tetap Mentor 5, Datuk Ramli MS antara yang memberi komen positif selepas Salma mengadakan persembahan yang menyaksikan protege itu mendapat 80 markah.
Salma menewaskan dua lagi pesaingnya dalam Mentor 5 iaitu Iqa bersama mentornya, Edry Abdul Halim yang mendapat 63 markah, Aiman dan mentornya, Rahim Maarof (49 markah).
"Salma, saya susah hendak puji orang, tetapi saya dapati awak sangat bagus malam ini. Cuma awak haruslah lebih berhati-hati dalam memilih lagu dan malam ini adalah cubaan yang bagus," ujarnya.
Pada konsert itu, Salma atau Salmah A. Asis, 21, yang berasal dari Tawau, Sabah itu turut menyanyikan lagu medley berjudul Penasaran, Kopi Dangdut dan Kabhi Kushi Kabhi Gham.
Jika Salma dan Erra berada di kedudukan yang selesa, berlainan pula dengan Aiman serta mentornya, Rahim Maarof yang mendapat markah terendah dalam Kumpulan B.
Tiga minggu berturut-turut Aiman atau Aiman Hakim Ridza, 22, mendapat markah tercorot dan minggu depan menentukan sama ada dia tersingkir daripada Mentor 5 ataupun tidak.
Mentor Aiman, Rahim Maarof berkata, setakat ini dia berpuas hati dengan persembahan protegenya termasuklah memberi kebebasan kepada Aiman membuat persembahannya.
" Saya rasa persembahan Aiman okay sehingga saya sendiri bangun dan menari menghayati lagu-lagu nyanyiannya. Cuma Aiman tidak dapat penyanyi yang ingin dia berduet bersama.
"Contohnya, dia mahu berduet dengan Datuk Sheila Majid dalam lagu Ingat Diriku Lagi atau bersama Jaclyn Victor dalam lagu Freedom tetapi dua penyanyi itu ada komitmen lain.
"Kebetulan Roy pula yang ada kelapangan dan Aiman akhirnya memilihnya untuk berduet dalam lagu bertajuk Ratnaku. Kebetulan nama Roy memang ada dalam senarai itu," jelasnya.
Selain lagu Ratnaku, Aiman menyanyikan lagu Noktah Cinta yang dipopularkan oleh Hafizz cuma sekadar 49 markah keseluruhan pada pertandingan nyanyian terbitan TV3 itu.
Mentor 5 menyaksikan pemarkahan berdasarkan 50 peratus undian para juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas dan 20 peratus lagi daripada juri awam di studio.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: