MISRATA, Libya - Bunyi letupan kuat dan bedilan senjata api menggegarkan bandar ini semalam ketika tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus bertempur dengan pemberontak bagi menguasai lapangan terbang di sini, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Pertempuran tersebut berlaku selepas tentera Gaddafi semalaman membedil roket dan peluru mortar ke bandar ini yang terletak 215 kilometer ke timur ibu kota Libya, Tripoli.
Tentera Gaddafi dipaksa berundur dari sini selepas tentera pemberontak dan jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan pada Isnin lepas.
Namun, tentera pemimpin Libya itu masih berada dalam kedudukan untuk melancarkan bedilan roket ke bandar ini.
Sebelum ini pihak pemberontak memberitahu telah menawan pelabuhan di sini dan matlamat seterusnya adalah untuk menawan lapangan terbang yang masih dikuasai tentera Gaddafi.
"Menyerang merupakan satu bentuk pertahanan yang terbaik," kata seorang komander tentera pemberontak di sini, Ibrahim Bet-Almal.
"Gaddafi menghantar bantuan kepada anggota-anggota tenteranya di sini pada setiap hari," tambah komander berkenaan.
Pergolakan di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati sejumlah rakyat yang menentang kepimpinan Gaddafi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: