Thursday, April 28, 2011

Seminggu satu filem




MENGIKUT sejarah, dunia perfileman di Tanah Melayu telah bermula semenjak tahun 1920 apabila beberapa buah filem dokumentari telah diterbitkan. Antaranya seperti dokumentari Malayan Motor Roads (1920), Memories Of Malacca (1921) dan Malay Nights (1931).

Bagaimanapun, kebanyakan pendapat telah bersetuju bahawa Laila Majnun yang dilakonkan oleh pelakon bangsawan seperti M. Suki dan Fatimah Jasmin pada tahun 1933 merupakan filem cereka pertama yang telah dihasilkan di Tanah Melayu.

Diterbitkan oleh S.M. Chisty serta diarahkan oleh B.S. Rajhans, pemilihan pelakon bangsawan telah dibuat memandangkan ketika itu masih belum ada lagi pelakon yang berpengalaman.

Semenjak itu, kegiatan pembikinan filem semakin berkembang dengan pesat terutamanya di Tanah Melayu dengan kemasukan penerbit dari negara China iaitu Shaw Brothers.

Kemudian era perfileman Melayu menuju ke kemuncaknya pada era Jalan Ampas di Singapura. Ketika itu, lahirlah ramai pelakon-pelakon Melayu dan yang paling diingati sudah tentunya seniman agung, allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Biarpun saluran televisyen telah diperkenalkan pada tahun 1963, tetapi penerbitan filem masih lagi giat dihasilkan dan orang ramai masih ke pawagam menonton filem kegemaran mereka memandangkan tidak ramai yang mampu memiliki televisyen ketika itu.

Kini, filem telah menjadi satu industri yang sememangnya mendatangkan keuntungan dan boleh dikatakan ramai pihak kini semakin berlumba-lumba untuk menghasilkan filem.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah menyifatkan era perfileman pada hari ini adalah merupakan generasi yang kelima.

Ujarnya, apa yang dimaksudkan dengan generasi itu ialah perkembangan dunia perfileman di negara ini melalui lima generasi yang berbeza.

“Generasi yang pertama adalah generasi yang mana ramai pengarah luar negara terutamanya dari India seperti B.S Rajhans dan Datuk L.Krishnan yang datang ke Tanah Melayu untuk menghasilkan filem.


SURVIVAL filem Melayu kini sekali lagi bakal teruji dengan pertambahan bilangan naskhah yang dihasilkan pada setiap tahun.


“Kemudian generasi yang kedua pula adalah era di mana lahirnya pengarah tempatan pertama seperti Haji Mahadi dan diikuti dengan P. Ramlee serta pelakon terkenal seperti Nordin Ahmad, Saadiah, Normadiah dan ramai lagi,” jelasnya.

Tambah Abu Hassan, generasi ketiga era perfileman Melayu pula adalah apabila pembikinan filem-filem Melayu berpindah dari Studio Jalan Ampas ke Studio Merdeka di Hulu Kelang, Selangor.

Bagaimanapun, ujarnya pada generasi tersebut adalah merupakan zaman kejatuhan dunia perfileman Melayu apabila kebanyakan filem-filem Melayu kurang mendapat sambutan.

Namun, ia bangkit semula di era 80-an apabila munculnya syarikat perfileman seperti Sabah Film Production yang ketika itu banyak menerbitkan filem-filem Melayu.

Jelasnya lagi, generasi keempat pula adalah era di mana kemunculan beberapa pengarah yang mendapat pendidikan formal dalam bidang perfileman seperti Dr. Mahadi J. Murat.

“Untuk generasi keempat ini pula, kebanyakan pengarah yang menghasilkan filem pada masa itu sememangnya arif dan faham tentang filem kerana mereka memiliki kelulusan dalam filem,” jelasnya.

Sementara generasi kelima adalah merupakan generasi yang ada pada hari ini yang meneruskan legasi industri perfileman tempatan dengan melakukan banyak pembaharuan dalam pembikinan sesebuah filem.

“Pada generasi ini, antara pengarah yang banyak membuat kelainan menerusi filem-filem yang diarahkan seperti Afdlin Shauki dan Mamat Khalid yang kini antara pengarah yang cukup terkenal dengan idea dan cerita menarik,” ujarnya.

Berkembang pesat

Tidak dinafikan, industri perfileman di negara ini semakin rancak dan meriah serta sedang berkembang dengan pesatnya apabila semakin banyak filem yang telah dihasilkan.

Berbanding kira-kira 10 tahun lalu, secara puratanya sebanyak tujuh hingga 10 buah filem sahaja yang dihasilkan dalam tempoh setahun.

Namun begitu, setiap tahun jumlahnya semakin meningkat dan pada tahun ini sahaja berkemungkinan besar para penonton dapat menikmati sehingga 40 buah filem di pawagam.

Lebih menarik lagi, belum pernah lagi berlaku dalam sejarah industri perfileman negara apabila setiap minggu akan ada sebuah filem Melayu baru yang ditayangkan di pawagam serta dijangka ia bakal berterusan sehingga bulan Oktober ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Abu Hassan menjelaskan fenomena yang berlaku itu memberi petanda bahawa industri perfileman tempatan sedang berkembang dengan positif ketika ini.

Menurutnya lagi, ia memberi makna bahawa industri perfileman juga adalah merupakan salah satu industri yang sebenarnya mampu memberi pulangan yang baik.


FILEM peranormal pertama Malaysia, Penunggu Istana mula ditayangkan sejak 21 April lalu.


“Sebelum ini pasaran filem Melayu boleh dikatakan agak kecil, namun dengan terhasilnya banyak filem sekarang menunjukkan pasaran filem Melayu kini semakin luas dan penonton diberi lebih banyak pilihan untuk menonton filem yang dirasakan memenuhi cita rasa masing-masing.

“Bagi merancakkan lagi perkembangan industri ini, maka pihak institusi kewangan seperti bank juga seharusnya memberi lebih kelonggaran dalam memberi pinjaman kepada mana-mana pihak yang mahu menghasilkan filem,” jelasnya.

Biarpun merasakan penghasilan filem yang banyak adalah suatu perkara yang positif, tetapi Abu Hassan turut menegaskan kepada para pembikin filem supaya menitikberatkan aspek kualiti ketika menghasilkan sesebuah filem serta menampilkan jalan cerita menarik dan idea yang kreatif.

Ujarnya, penggunaan teknologi terkini sahaja tidak menjamin sesebuah filem itu akan diterima ramai kerana asas filem yang bagus adalah terletak pada jalan cerita dan idea yang menarik.

“Lihat sahaja contoh filem di beberapa buah negara seperti Iran yang tidak menekankan penggunaan teknologi terkini, namun filem mereka tetap berjaya dibawa sehingga ke peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Inflasi filem

Bagaimanapun, pengarah terkenal Ahmad Idham pula mempunyai pendapat sendiri dengan menyatakan kebanjiran filem-filem tempatan sekarang sebenarnya dilihat sebagai satu keadaan yang cukup berisiko.

Jelasnya, apa yang dirisaukan pada masa ini ialah akan berlaku inflasi dalam industri perfileman iaitu jumlah filem yang dihasilkan melebihi daripada jumlah penonton yang akan menonton di pawagam apabila terlalu banyak filem yang dihasilkan.

“Kuasa pembeli terletak di tangan penonton dan tidak semestinya mereka akan menonton filem baru setiap minggu di pawagam.

“Keadaan ini berpunca apabila kebanyakan filem sering kali mencatat kutipan tinggi, maka semua pihak berlumba-lumba untuk membuat filem. Sehingga ada filem yang dihasilkan tidak mementingkan kualiti.

“Sedangkan orang ramai sekarang sudah bijak menilai dan mereka tentunya mahukan sebuah filem bagus. Jika mereka dihidangkan dengan filem yang tidak berkualiti mungkin minat orang ramai untuk ke pawagam semakin berkurangan dan tentu ia akan memberi kesan kepada filem-filem lain,” jelasnya.

Menurutnya lagi, biarlah jumlah filem yang dihasilkan itu sedikit, namun ia adalah filem yang benar-benar berkualiti dan sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh para penonton.

“Dahulu ketika filem yang dihasilkan untuk format VCD mendapat sambutan hangat, semua orang berlumba-lumba mahu menghasilkannya.

“Namun, lama-kelamaan ia tidak lagi mendapat sambutan kerana kualiti serta jalan cerita yang teruk.


AFDLIN SHAUKI


Saya bimbang perkara ini juga boleh berlaku dalam industri perfileman tempatan sekiranya penghasilan sesebuah filem tidak dipantau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Idham juga tidak menafikan bahawa apabila semakin banyak filem yang ditayangkan di pawagam, jumlah kutipan yang diterima juga tidaklah setinggi seperti yang pernah diraih sebelum ini.

“Rasanya terlalu awal untuk menilai mengenai kutipan tiket berdasarkan kepada situasi yang berlaku sekarang kerana ia akan dapat dilihat dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Cuma sebagai pengarah saya sudah mula merasa kesannya seperti yang berlaku ke atas filem terbaru saya sekarang.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: