PELAJAR ponteng menghabiskan masa sepanjang waktu persekolahan melepak dengan berpakaian baju biasa di Hutan Bandar.
JOHOR BAHRU: Deretan gerai yang tidak beroperasi sekitar taman rekreasi Hutan Bandar di sini, kini menjadi lokasi kumpulan pelajar untuk melepak ketika ponteng sepanjang waktu persekolahan.Walaupun datang ke situ dengan berpakaian sekolah, mereka menjadikan lokasi berkenaan yang tidak ramai pengunjung pada hari biasa untuk menyalin pakaian awam yang dibawa bersama sebelum berpeleseran di sekitar bandar atau tidur dan merokok di kawasan sekitarnya.
Tinjauan Berita Harian mendapati pelajar yang ponteng dan berpeleseran di sekitar taman rekreasi itu datang dari sekitar Larkin serta sekolah menengah berdekatan merangkumi semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India dengan setiap kumpulan antara 20 hingga 30 orang.
Keadaan Hutan Bandar yang redup berikutan banyak pokok serta agak terlindung di sesetengah lokasi termasuk di sekitar kawasan kolam udang yang terbiar, disifatkan pelajar ponteng sebagai lokasi terbaik untuk mereka melepak.
Pelajar Tingkatan Satu dari sekolah menengah berdekatan yang mahu dikenali sebagai Muhammad, mendakwa dia dan rakannya lepak di situ kerana tidak berpuas hati terhadap guru disiplin di sekolah mereka.
“Guru disiplin sekolah kami pilih kasih dan bersikap perkauman. Apa saja kesalahan disiplin, kami sentiasa dipersalahkan, berbanding kaum lain. Baru-baru ini, ada kejadian kereta dicalar dan kami disalahkan walaupun siasatan kemudiannya mendapati ia dilakukan kaum lain.
“Ponteng dan lepak di sini ada kumpulan tertentu dan mengikut kaum yang tidak bercampur dan kebanyakannya pelajar lelaki, masing masing dengan kumpulan sendiri.
“Semua pelajar yang ponteng di sini merokok. Paling kurang, dalam seminggu, dua atau tiga hari kami pasti ponteng sekolah dan melepak di sini,” katanya yang tinggal di Taman Suria dekat Larkin di sini.
Pelajar sesi petang itu berkata, setiap kali ponteng, dia keluar seperti biasa dari rumahnya kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan berpakaian sekolah sebelum terus ke Hutan Bandar dan melepak di situ sehingga tamat sesi persekolahan sebelum pulang menaiki bas dan kegiatan itu tidak disedari ibu bapanya.
Katanya, sepanjang ponteng di situ, mereka pernah ditahan polis tetapi setakat ini, kejadian itu tidak sampai kepada pengurusan sekolah atau ibu bapa menyebabkan mereka tidak bimbang.
Seorang rakan persekolahannya, Razman Rahman, 16, mendakwa kaedah pembelajaran digunakan guru sekolahnya yang juga lulusan luar negara membosankan.
"Macam mana kami tak ponteng dan melepak di sini, sebab guru lepasan luar negara mengajar kami seolah-olah penuntut universiti, sehingga sukar memahaminya. Kami bukan sampai tahap itu lagi, malah pelajar yang kurang pandai macam kami memang tidak diberi perhatian,” dakwa pelajar Tingkatan Empat itu yang ditemui ketika tinjauan di kawasan hutan itu pada waktu pagi.
Tinjauan mendapati, walaupun kumpulan pelajar itu mempunyai pelbagai alasan sendiri untuk menghalalkan perbuatan ponteng mereka, namun kebanyakannya kelihatan tidak memahami tanggungjawab mereka sebagai anak dan pelajar.
Masing-masing kelihatan tidak rasa bersalah apabila membohongi ibu bapa yang gigih bekerja untuk menyara kehidupan keluarga di bandar raya ini dan mengharapkan anak-anak akan memberi tumpuan kepada persekolahan.
Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kumpulan pelajar terbabit ponteng, selepas masing-masing merasakan kehadiran mereka ke sekolah tidak dipedulikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: