KUALA LUMPUR - Walaupun bakal beraksi sebagai pasukan bukan pilihan, PPI Ampang FC yakin dapat memberi tentangan sengit kepada pasukan lain dalam kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung bulan depan.
|
|
Pasukan yang pertama kali menyertai kejohanan itu memberikan amaran awal apabila menyasarkan kelompok lima pasukan terbaik dalam kategori Terbuka Lelaki Larut Malam.
Pengurusnya, Hazrul Amri Hassan berkata, senjata utama mereka terletak pada kombinasi pemain lama dan baru yang mempunyai corak permainan tersendiri.
"Kami yakin keserasian antara gabungan itu mampu menggarap satu bentuk strategi permainan yang kemas dan mantap seterusnya mencabar pasukan lain," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 akan menggegarkan Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18, Putrajaya bermula 26 hingga 29 Mei ini.
Kejohanan futsal terhebat di Putrajaya itu menawarkan wang tunai dan hadiah melebihi RM133,150 untuk dimenangi.
Mengulas lanjut, Hazrul Amri berkata, pasukannya sedang giat menjalani latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
"Kami perlu membuat persiapan rapi kerana akan bermain pada waktu malam yang memerlukan pemain memiliki ketahanan dan fokus sepenuhnya kepada perlawanan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: