Saturday, April 30, 2011

Al Rajhi Gold-i diperkenalkan



Al Rajhi Bank, perbankan Islam terbesar di dunia memperkenalkan produk pelaburan terbarunya, Al Rajhi Gold-i yang membenarkan pelanggannya melabur dalam bentuk emas fizikal.

Pengarah Perbankan Runcitnya, Sabry Ghouse berkata, emas diimport khas dari Switzerland dengan 999.9 fizikal tulen ini menawarkan beberapa keistimewaan termasuk pelaburan logam dengan harga sebenar, mudah dibeli dan dijual serta kepelbagaian aset untuk meminimumkan risiko dan pemilikan pelaburan persendirian.

“Keunikan logam jenis ini telah terbukti dapat melindungi nilai wang sejak beribu tahun dahulu. Dengan Al Rajhi, pelanggan kini boleh melabur serta-merta dalam bentuk emas fizikal yang dapat memberi nilai kepada sesebuah pelaburan terutamanya semasa keadaan ekonomi tidak menentu.

“Selain itu, Al Rajhi turut melindungi kepentingan pelanggan melalui prinsip perdagangan Musawamah yang diiktiraf secara global oleh syariah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Al Rajhi Gold-i, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, Al Rajhi menjadikan individu mempunyai minat mendalam terhadap pelaburan aset merangkumi jongkong fizikal emas dan wafer sebagai alternatif lain pelaburan sebagai kumpulan sasaran produk terbarunya ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perbankan Mewah, Yasmin Junus berkata, lebih 70 peratus permintaan pasaran emas dunia datang daripada pembeli yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan kemas.

“Manakala, kurang daripada 20 peratus pelabur emas adalah pelabur individu. Dengan memperkenalkan Gold-i, ia diharap dapat memberi kesedaran kepada pelabur bahawa pelaburan emas dapat memberi lebih nilai pada masa akan datang,” katanya.

Melalui statistik Pertubuhan Emas Dunia tahun lalu, permintaan pasaran emas utama adalah untuk penghasilan barang kemas, malah, pasaran Asia sendiri melihatkan pertumbuhan di mana jumlah pelanggan tahunan meningkat 66 peratus berbanding tahun lalu.

Dengan harga emas serendah RM800 untuk lima gram hingga lebih RM160,000 untuk satu kilogram, Al Rajhi turut menyediakan kelebihan untuk pelanggan awal seperti perlindungan insurans bersama Takaful dan pengasingan stor simpanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: