SELEPAS Upin & Ipin melakar fenomena tersendiri dunia penyiaran dan perfileman, sebuah lagi animasi yang mungkin tidak kurang hebatnya kini sedang menunggu masa untuk munculna iaitu Boboi Boy.Produk pertama keluaran Animonsta Studios (AS) hadir bukan untuk menyaingi mana-mana animasi sedia ada, namun kehadirannya tidak lain adalah untuk memeriahkan industri animasi yang masih dianggap baru ini.
Pengarah Urusan Animonsta Studios, Mohd Nizam Abd Razak berkata, kehadiran mereka dengan produk Boboi Boy bakal merancangkan lagi industri animasi negara yang baru dilahirkan.
“Selepas keluar daripada Les’ Copaque, kami menerima banyak tawaran daripada pelabur yang ingin membantu kami dalam mengembangkan industri animasi di negara ini, namun sebenarnya kami lebih selesa untuk bergerak sendiri dengan cara kami sendiri.
“Bagi saya pekerjaan yang membabitkan kerja kreatif seperti ini kadang-kadang ramai orang yang tidak begitu faham cara kami bekerja, kerjasama di dalam kumpulan harus kuat bagi memberi fokus dengan apa yang ingin kami lakukan dan sebab itu kami senang untuk bergerak sendiri.
“Saya tidak kata Boboi Boy ini dibuat untuk bersaingan dengan Upin & Ipin, tetapi harus dilahirkan tanpa ada persamaan, apa yang kami buat mengikut sesuatu yang belum pernah ada lagi di negara ini dan Boboi Boy adalah animasi ‘superhero’ pertama,” katanya.
Sebagai syarikat yang baru setahun lebih ditubuhkan, Animonsta Studios kini bernaung di bawah Multimedia Development Corporation (MDEC) di Cyberjaya yang menyediakan geran kepada mereka.
Bantuan geran MDEC yang sememangnya sentiasa menyokong pembangunan industri kreatif daripada anak tempatan, sedikit sebanyak meringankan beban Animontas Studios untuk menghasilkan karya dengan lebih selesa.
“Menariknya, MDEC turut menyediakan kami tempat yang diberi nama Mac 3 di Cyberjaya untuk kami beroperasi secara percuma. Kemudahan lain yang disediakan secara percuma juga termasuklah perisian dan perkakasan komputer selain mereka juga membantu kami dari segi pemasaran produk kami,” katanya.
Animasi 13 episod, Boboi Boy yang kini disiarkan menerusi TV3 setiap Ahad jam 7 malam bermula 13 Mac lalu dihasilkan oleh 27 tenaga kerja membabitkan kos sebanyak RM2.6 juta.
“Buat masa ini kami hanya mempunyai tenaga kerja seramai 27 orang saja dan untuk menghasilkan kerja ini dengan cepat, memadai ditambah sehingga 30 pekerja saja, sekurang-kurangnya ia dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Ini adalah kuota yang diberikan oleh kerajaan mengikut geran yang diberikan selepas kerajaan melihat industri animasi ini sesuatu yang baik dan peluang untuk lepasan IPT memulakan kerjayanya.
“Lebih lagi, tenaga kerja kami keseluruhannya adalah mereka yang baru menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya yang turut memberikan latihan dan kursus insentif untuk penggunaan sistem mereka serta dugaan melawan tekanan kerja.
Nama watak sesuai semua kaum
Empat karektor utama di dalam animasi ini terdiri daripada Boboi Boy, Yaya, Ying dan Gopal dihasilkan dengan kajian yang terperinci sesuai dengan tontonan kanak-kanak.
Nizam berkata, biarpun berkonsepkan ‘superhero’ yang kebiasaannya menyajikan elemen ganas, namun Boboi Boy dihasilkan mengikut disesuaikan dengan nilai budaya dan kehidupan masyarakat setempat.
Antara elemen yang cuba dielakkan dalam Boboi Boy ini seperti percintaan, tahyul, keganasan dan seks kerana ia adalah untuk kanak-kanak dan menggambarkan watak yang sangat baik.
Kelebihan dalam menghasilkan kerja kreatif ini, mereka boleh mengolah untuk membuatkan cerita superhero ini tidak ganas seperti yang sering dipaparkan animasi dari negara luar.
“Dari kajian yang dilakukan, memang kita melihat banyak cerita animasi luar yang dipertontonkan untuk kanak-kanak ini terlalu ganas dan ini adalah tanggungjawab kita untuk membuatkan Boboi Boy ini menjadi superhero yang baik.
“Kita turut paparkan hubungan baik Boboi Boy bersama kawan-kawannya, sifat menghormati orang tua seperti ringan tulang serta banyak lagi sifat mulia,” katanya yang turut menyelitkan elemen jatidiri Malaysia menerusi karektor seperti cara percakapan, penampilan berkopiah dan bertudung meskipun latar zaman masa depan.
Pemilihan nama Boboi Boy juga dilalui dengan kajian yang terperinci bagi mendekatkan dengan budaya masyarakat timur.
“Jika kita lihat nama ini sebenarnya banyak digunakan baik masyarakat Melayu, Cina mahupun India. Kanak-kanak tidak membaca tetapi lebih banyak mendengar dan mereka mudah untuk menyebutnya lebih lagi nama itu kelakar.
“Unsur kelakar adalah medium penting dalam menarik hati penonton, selain itu Boboi Boy ini berkonsepkan 1 Malaysia di mana watak Boboi Boy dan Yaya mewakili Melayu, Gopal (India) dan Ying (Cina). Namun setiap episod bukan saja merujuk kepada Boboi Boy saja tetapi semua karektor akan diangkat sebagai cerita utama dalam episod berbeza,” katanya.
Diminati saluran TV antarabangsa
Animonsta Studious juga sudah merangka pelbagai perancangan di masa depan dalam mengembangkan lagi industri animasi di negara ini termasuk mengintai pasaran antarabangsa.
“Pada Oktober lalu kami ada pergi ke pasaran filem di Perancis dan kita sempat mengadakan pembentangan siri animasi ini buat Saluran Disney untuk 12 negara.
“Mereka memberikan maklum balas yang positif dan kami juga dapat berjumpa dengan pemasar dari Perancis dan United Kingdom yang berminat dengan animasi ini.
“Dari situ kami melihat sama ada karektor yang dilahirkan itu bersesuaian atau tidak dengan negara mereka memandangkan watak Yaya yang bertudung itu dibimbangi menimbulkan isu, namun mereka tidak kisah kerana sejak akhir-akhir ini banyak negara memandang serong kepada agama Islam.
“untuk pasaran antarabangsa kita harus ada rekod yang baik dan setidak-tidaknya mempunyai 13 episod yang sudah siap. Saluran Disney akan menyiarkan siri Boboi Boy ini paling awal pada Jun depan.
“Selain itu, Indonesia juga berminat untuk menyiarkan Boboi Boy menerusi tiga stesen televisyen mereka seperti TPE, Global TV dan MNC,” katanya yang merancang menerbitkan filem Boboi Boy pada 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: