Saturday, April 30, 2011

Teknologi DIG-S Nissan


TEKNOLOGI DIG-S amat sesuai dipasang pada model bandar terbaru Nissan iaitu Micra.


ANAK-ANAK muda yang ‘bermain’ kereta lewat tahun 1990-an dan awal tahun 2000 pasti teringat akan populariti Nissan March SuperTurbo. Kereta kompak itu sebaris dengan Daihatsu Charade, Toyota Starlet dan Suzuki Swift GTi.

Nissan March SuperTurbo dua pintu adalah paling sukar diperolehi atau bahasa glamornya ‘rare’. Uniknya March terletak pada teknologi enjin yang mengabungkan sistem pengecas lampau (supercharge) dan pengecas turbo (turbocharge).

Itulah yang dikatakan ‘super rare’, teknologi yang paling sukar antara sukar. Bayangkan pada lewat tahun 1980-an, pengeluar Jepun sudah bermain dengan teknologi yang begitu rumit.

Kembali kepada retro

Seperti kebetulan, pergerakan trend dunia automotif kembali kepada unsur-unsur retro. Pengeluar kereta utama dunia nampaknya kembali kepada teknologi turbo dan pengecas lampau menerusi penambahbaikan komponen tersebut bagi disesuaikan dengan regulasi serta keperluan semasa.

Teknologi pendesak (force induction) boleh diibaratkan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kuasa ekstra dengan kadar segera daripada enjin. Hasilnya, enjin berkapasiti sederhana seperti 1.6 liter mampu menjana kuasa seperti enjin 2.0 liter.

Demam teknologi tidak terhad kepada pengeluar kereta dunia. Bahkan ia turut menjangkiti Proton yang sedang bersiap-siap melancarkan model Exora berkuasa turbo dalam masa beberapa bulan lagi.

Nissan tidak mahu ketinggalan dengan trend arus perdana. Mereka mempunyai teknologi enjin kecil dengan janaan output besar yang diberi nama DIG-S. Akronim empat huruf itu merujuk kepada Direct Injection Gasoline-Supercharger.

Maksudnya, enjin tersebut menerima bantuan daripada pengecas lampau. Enjin DIG-S dikatakan mampu menghasilkan output tinggi, di samping penggunaan bahan api yang ekonomikal serta emisi rendah. Enjin itu direka bagi memenuhi dan menjangkaui keperluan pemanduan harian masa kini. Ia dilihat sangat ideal untuk dipadankan pada model Micra, kereta bandar terbaru Nissan.

Inovasi teknikal dipakejkan ke dalam enjin DIG-S. Ia menggunakan kitaran Miller dan pancitan terus (direct injection) bagi meningkatkan nisbah mampatan 13 kepada 1 untuk mendapatkan kecekapan dalam kebuk pembakaran. Sementara supercharge pula berfungsi mendapatkan kuasa tambahan segera.

Penanda aras baru industri

Enjin bersesaran 1,198cc tiga silinder itu menghasilkan output kuasa bersamaan enjin konvensional empat silinder 1.5 liter. Secara spesifiknya DIG-S berkuasa 98ps dengan 142Nm tork serta mampu memecut sehingga 180 kilometer sejam (km/j).

Melalui enjin DIG-S, para jurutera Nissan berjaya mencapai penanda aras baru dalam standard industri. Konfigurasi enjin tiga silinder itu dikatakan mempunyai beberapa kelebihan seperti lebih ringan dan kurang geseran, hasil daripada kurangnya peralatan yang bergerak.

Pakej enjin dilengkapkan lagi dengan beberapa teknologi seperti sistem Start/Stop yang menghentikan enjin dalam keadaan melahu, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api. Dipadankan dengan bateri berprestasi tinggi dan motor penghidup, sistem itu hanya mengambil masa 0.4 saat (model CVT) untuk menghidupkan enjin selepas ia dimatikan.

Teknologi regeneration pula menjana semula kuasa semasa nyahpecutan melalui alternator yang mengecas bateri bagi membekalkan kuasa untuk peralatan elektrik, seterusnya mengurangkan beban kepada enjin.

Micra DIG-S bukan setakat inovatif pada nadi kuasanya sahaja. Ia turut dilengkapi dengan alat bantuan pemandu yang dikenali sebagai Parking Slot Measurement System (PSM). Seperti namanya, sistem itu mengukur ruang parkir dan memaklumkan kepada pemandu sama ada ruang tersebut sesuai atau tidak untuk kereta. Dengan sistem itu, masa dapat dijimatkan dan kuranglah kes pemandu yang teragak-agak untuk memarkir kereta mereka.

Dari segi luaran, Nissan Micra DIG-S tidak jauh bezanya dengan Micra biasa. Kedua-dua model itu mempamerkan lencana Nissan Pure Drive sebagai tanda emisi karbon oksidanya rendah daripada 130g/km.

Bezanya, cuma spoiler bumbungnya lebih panjang, selain spoiler kecil pada bahagian depan kereta. Walaupun tidak signikan, pekali seret (drag coefficient) berjaya dikurangkan dari 0.33 kepada 0.29.

“Jelas bahawa enjin baru kami, Direct Injection Gasoline-Supercharger menawarkan penyelesaian terbaik untuk kereta kecil seperti Micra. Dengan respon pendikit yang pantas, prestasi dan penjimatan bahan api, ia lebih baik berbanding enjin diesel dengan output kuasa yang sama. Tambahan pula tahap emisinya jauh lebih baik,” kata Naib Presiden Strategi Produk dan Perancangan, Nissan International, Pierre Loing.

Walau bagaimanapun, jika anda berminat dengan Nissan Micra, harap maaf. Kereta itu hanya ditawarkan untuk pasaran Eropah buat masa ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: