|
|
MARAN - Tiga penyamun warga Indonesia yang cuba menyerang polis dengan parang selepas dikejar sejauh empat kilometer berhampiran Felda Jengka 18 di sini semalam mati ditembak.
Dalam kejadian pukul 3.40 pagi itu, ketiga-tiga lelaki yang menaiki kereta curi Perodua Viva mati di tempat kejadian.
Sejam sebelum itu, tiga suspek yang berusia 20 hingga 40-an menyamun sebuah rumah milik pembekal baja di kawasan itu.
Mangsa yang berusia 58 tahun diikat dengan wayar ampaian manakala mata ditutup dengan tuala.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, sebelum kejadian itu, polis yang menjalankan rondaan bertembung dengan sebuah kereta Viva menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota polis telah mengarahkan suspek supaya berhenti tetapi pemandu kereta itu terus memecut menghala ke arah Felda Jengka 18.
"Kita terpaksa mengejar suspek sejauh empat kilometer sebelum kereta yang dipandu penjenayah itu hilang kawalan dan merempuh pokok kelapa sawit," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Sharifuddin, anggota polis kemudian menghampiri kereta Viva itu dan memperkenalkan diri tetapi tiga penjenayah dalam kereta itu bertindak kasar dan menyerang anggotanya dengan parang.
Ekoran itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan ketiga-tiga suspek mati ditempat di kejadian.
Polis percaya tiga suspek itu aktif melakukan samun bersenjata di sekitar Jengka dan terlibat dalam dua kes rompakan di Kuantan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: