KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan kadar baru tambang Khidmat Keretapi Elektrik (ETS) yang akan berkuat kuasa esok.
Presidennya, Dr. Aminuddin Adnan berkata, tiket akan dijual pada tiga harga berbeza dalam tiga pakej baru iaitu Silver (RM25), Gold (RM35) dan Platinum RM45.
"Sebenarnya ini merupakan harga tambang siling yang diselaraskan oleh kerajaan sejak perkhidmatan ETS dimulakan pada Ogos tahun lalu tetapi demi kepentingan pelanggan, harga konsesi iaitu RM30 diperkenalkan selama enam bulan sehingga 28 Februari lalu sebelum dilanjutkan sehingga 30 April 2011," katanya selepas majlis menghantar pasukan hoki New Zealand ke Ipoh menggunakan ETS di sini semalam.
Beliau berkata, selaras dengan tambang baru itu, pihaknya memperkenalkan diskaun antara 20 dan 75 peratus kepada lima golongan iaitu pesara kerajaan, warga emas, orang kelainan upaya, kakitangan KTMB dan pelajar.
"Lima golongan ini hanya perlu menunjukkan Mykad, kad pelajar atau kad persaraan untuk mendapatkan diskaun," jelasnya.
Jelas beliau, jumlah pengguna ETS pula meningkat sejak awal tahun ini apabila mencatatkan 45,800 orang pada Januari, 52,150 (Februari) dan 57,900 bulan lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: