Thursday, April 28, 2011

THP tambah tanah

Datuk Zainal Azwar Zainal Aminuddin
Datuk Zainal Azwar Zainal Aminuddin

TH Plantation Bhd (THP), anak syarikat Lembaga Tabung Haji komited untuk menambah bank tanahnya kepada 50,000 hektar pada tahun depan berbanding 39,119 hektar yang dimiliki sekarang dengan 96 peratus daripadanya adalah tanaman sawit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Azwar Zainal Aminuddin (gambar) berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan sudah mengenal pasti beberapa kawasan di Malaysia dan menyenarai pendek beberapa bidang tanah untuk pemerolehan di Sabah, Sarawak dan Indonesia iaitu Kalimantan serta Sumatera.


Beliau berkata, syarikat memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM150 juta tahun ini untuk keseluruhan pembangunan tanaman dan membiayai sebahagian pembinaan kilang penapis sawit bernilai RM70 juta di Sarawak. “Kami juga meninjau kawasan tanaman di negara lain seperti Indonesia yang mana harganya dilihat lebih murah.

“Antara fokus Kumpulan THP tahun ialah terus mengekal serta meningkatkan prestasi perolehan syarikat memandangkan tahun lalu keuntungan selepas cukai meningkat 104 peratus kepada RM144.55 juta berbanding RM70.91 juta pada 2009,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan THP di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusinya, Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiran.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, syarikat mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus iaitu RM365.97 juta berbanding RM304.36 juta tahun sebelumnya, sekali gus mengumumkan pembayaran dividen tertinggi sebanyak 12.5 sen sesaham, ditolak cukai berbanding 8.5 sen sesaham yang diumumkan sebelumnya.


Katanya, syarikat ketika ini turut menguruskan penanaman sawit 120,199 hektar milik Tabung Haji dan menyasarkan mengeluarkan 504,901 tan metrik tandan buah segar tahun ini berbanding 463,949 tan metrik yang dihasilkan tahun lalu.

Beliau berkata, syarikat menjangkakan harga minyak sawit akan berada pada kadar RM2,800 setiap tan tahun ini, meskipun ketika ini harga berlegar sekitar RM3,000 setiap tan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: