|
|
SEBAIK sahaja mendaftar untuk sesi pandu uji eksklusif Exora di Full House, Sunway Giza, baru-baru ini, pelbagai persoalan bermain di fikiran.
Ini kerana, sesi pandu uji sering dilakukan oleh syarikat-syarikat automotif dan apa yang istimewanya tentang sesi pandu uji Exora pula?
Melalui pemerhatian dan temu bual yang dilakukan, jelas para peserta yang hadir ingin mengetahui apa yang diberikan dalam sesi pandu uji eksklusif itu.
Rata-rata pasangan suami isteri yang hadir masih buntu dalam memilih kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk memenuhi gaya hidup mereka.
Atur cara pada hari tersebut dimulakan dengan taklimat, tip dan cara membawa kanak-kanak dalam kenderaan bersama pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Kartini Illias.
Pelbagai aktiviti telah disusun dan yang paling ditunggu-tunggu oleh peserta ialah sesi pandu uji Exora di medan pandu uji di Desa Park City, Kuala Lumpur.
Setelah memandu uji Exora di medan pandu uji di Desa Park City bersama Penyelia Sesi Pandu Uji Eksklusif Exora, Ivan Khong, ternyata persepsi yang hadir telah berubah.
Exora sememangnya sebuah kenderaan yang mudah dikendalikan walaupun saiznya besar.
Ini sesuatu yang mengejutkan. Pengalaman dipandu oleh Ivan sewaktu ujian kestabilan Exora melalui aktiviti drift dan mengambil pusingan agak mengejut memang mendebarkan.
Tetapi dengan ciri keselamatan seperti sistem brek ABS, EBD dan sistem tali pinggang keledar 'pretensioner penumpang merasa selamat kerana tahap kestabilan yang dipamerkan Exora amat mengagumkan.
Setiap sesi yang dilakukan adalah berkaitan dengan ciri utama Exora iaitu S.P.A.C.E - Safety (Keselamatan), Performance (prestasi), Advanced Styling (gaya), Comfort (keselesaan) dan Economical (jimat).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Mohamad Shukor Ibrahim, Proton ingin mengorak langkah pertama dalam mengadakan sesi pandu uji seumpama itu kerana menyedari bahawa mereka yang berkeluarga besar bukan sekadar memerlukan kenderaan yang boleh memuatkan penumpang yang ramai.
''Apabila memilih sebuah kenderaan pelbagai guna, perkara-perkara lain yang harus diutamakan termasuk ciri-ciri keselamatan sewaktu membawa penumpang yang ramai. Juga keupayaan sebuah kenderaan membawa bagasi berat tanpa merasa sesak, tahap kestabilan dan prestasi kenderaan tersebut dan juga kos penyelenggaran serta gaya.
''Ini merupakan apa yang ingin kami persembahkan melalui sesi pandu uji eksklusif ini supaya peserta sendiri dapat melihat kelebihan yang ada pada Exora," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: