Saturday, April 30, 2011

Jelajah 17 jam Amsterdam


DERETAN basikal yang disediakan untuk disewa orang ramai.


SELEPAS merentasi benua dari Detroit, Amerika Syarikat ke Amsterdam, Belanda, penulis dan rakan-rakan tidak dapat menyembunyikan keletihan yang jelas kelihatan di wajah masing-masing. Melihatkan jadual penerbangan, transit jadual penerbangan ke Kuala Lumpur masih mempunyai masa 17 jam sebelum berlepas.

Suasana di Lapangan Terbang Schiphol itu sesak dengan orang ramai dan keputusan untuk sekadar bersantai di terminal menunggu ditolak mentah-mentah penulis yang mencadangkan memenuhi masa terluang itu dengan melawat kota Amsterdam.

Persetujuan daripada semua orang menggirangkan hati penulis, kami akhirnya menyimpan kesemua beg di dalam loker yang disediakan.

Melewati Lapangan Terbang Schiphol itu mengingatkan penulis kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mempunyai rangkaian pengangkutan hampir serupa seperti tren domestik, teksi dan bas bagi membawa orang ramai ke destinasi yang ingin dituju.

Memandangkan perjalanan menerusi tren lebih menjimatkan, penulis membeli tiket pergi-balik pada harga 3 euro (RM13.10). Fungsi tren berkelajuan tinggi itu sama seperti KLIA Express yang membawa penumpang ke destinasi tertentu di luar kawasan Schiphol.

Destinasi ke stesen Amsterdam Central memakan masa selama 20 minit dan setibanya di stesen, penulis terus memeluk tubuh dan menggigil menahan kesejukan.

Bulan April di Amsterdam mencatatkan suhu serendah 4 darjah Celsius dengan suhu tertinggi pun sekadar 14 darjah Celsius sahaja.

Menjejakkan kaki buat pertama kali di Belanda, segala keletihan sebelum ini hilang begitu sahaja kerana teruja untuk menjelajah bandar raya itu. Pada mulanya penulis ingin berbasikal mengelilingi kota itu apabila melihatkan orang ramai berbasikal namun, cadangan itu disangkal teman penulis yang ingin berjalan kaki.

Kami pun berjalan dan berdasarkan pemerhatian penulis, Amsterdam merupakan tempat paling sesuai untuk berbasikal memandangkan fasiliti untuk penunggang basikal amat lengkap.

Di mana-mana penulis dapat melihat parkir khas untuk basikal beserta dengan kuncinya. Penunggang basikal juga tidak perlu risau keselamatan di jalan raya kerana terdapat laluan khas disediakan buat mereka.

Kafe marijuana

Cuaca sejuk dan mendung pagi itu membuatkan penulis dan rakan-rakan lain berasa lapar lebih-lebih lagi bau kopi di deretan kafe-kafe di sepanjang jalan Amsterdam Centre itu membuatkan penulis yang menggemari kopi berasa amat tertarik untuk berehat sebentar.


Keindahan dan kebersihan terusan di Amsterdam sering dijadikan contoh kepada negara luar.


Ketika melihat-lihat kafe mana yang sesuai untuk dimasuki, pandangan penulis sedikit terganggu dengan kepulan-kepulan asap marijuana beberapa pelanggan di satu kafe.

Sebagai satu-satunya negara yang membenarkan penggunaan marijuana secara berlesen di kafe-kafe sejak 1976, suasana itu bukan lagi luar biasa buat masyarakat mereka namun, itulah kali pertama penulis melihat sendiri orang ramai menghisap barang terlarang itu secara terbuka.

Bandar raya terbesar Belanda itu memang tidak lekang daripada dibanjiri orang ramai serata dunia. Walaupun hari masih pagi ketika itu, rata-rata kafe dan restoran sudah pun dipenuhi orang dan ia memaksa penulis dan rakan-rakan lain bersarapan di McDonald's.

Menariknya ialah peraturan yang ditetapkan ketika berada dalam restoran itu begitu ketat yang tidak pernah ditemui di McDonald's Malaysia. Orang ramai juga perlu membersihkan sisa makanan sendiri dan membuangkan ke dalam tong sampah serta meletakkan kembali dulang ke tempat yang disediakan.

Teksi air

Selepas mengisi perut, penulis menyambung perjalanan dengan menaiki teksi air Holland International Canal Cruises di Amsterdam Centre.

Dengan bayaran 13 euro (RM56.80), kami dapat menyusuri terusan-terusan di kota Amsterdam yang sememangnya terkenal dengan rangkaian pengangkutan airnya.

Durasi satu jam dalam teksi air itu memberi peluang kepada penulis dan penumpang lain melintasi beberapa terusan terkemuka Amsterdam seperti Terusan Leitsegracht, Princessgracht dan lain-lain.

Pemandangan turut diserikan dengan rumah-rumah yang dibina dalam air dengan pelbagai bentuk yang direka sendiri oleh pemilik rumah-rumah tersebut.

Hingga kini terdapat 3,000 unit rumah dalam air dan kerajaan Belanda tidak lagi membenarkan pembinaan rumah tersebut bagi mengelakkan kesempitan ruang di sepanjang terusan.

Antara lain yang dapat dilihat penulis ialah bangunan-bangunan bercirikan reka bentuk kuno yang dibina sejak abad ke-12 lagi.

Pemandu pelancong turut memberitahu penumpang bahawa terdapat lebih kurang 8,000 bangunan lama di Amsterdam yang berada di bawah perlindungan monumen dan kota tua.

Kawasan lampu merah

Selesai menyusuri terusan-terusan tersebut, penulis dan rakan-rakan lain menyambung perjalanan menuju ke kawasan menjadi tumpuan ramai, Red-light District (kawasan lampu merah).

Walaupun pada mulanya ada antara kami yang enggan memandangkan kawasan tersebut terkenal dengan aktiviti pelacuran secara terbuka, namun kami akhirnya sepakat untuk ke kawasan itu.


Aksi seorang lelaki berbasikal roda satu mencuri perhatian orang ramai di Dataran Dam.


Memasuki kawasan tersebut membuatkan penulis berasa janggal kerana lorong-lorong itu dipenuhi dengan pekerja-pekerja seks wanita yang hanya memakai pakaian dalam mempamerkan kecantikan masing-masing di dalam bilik-bilik kecil berdindingkan cermin.

Pengunjung bagaimanapun tidak dibenarkan mengambil gambar mereka dan penulis menyaksikan sendiri apabila seorang pelancong wanita dikejar seorang pelacur di situ kerana mengambil gambarnya.

Deretan kedai-kedai erotik menjual pelbagai barangan seks menjadi tarikan pelancong terutama golongan lelaki. Penulis menolak pelawaan beberapa jurujual di situ yang mempelawa untuk masuk ke dalam kedai mereka.

Dataran Dam menjadi tempat terakhir penulis dan rakan-rakan memandangkan masa yang suntuk. Kumpulan besar burung merpati di situ menarik perhatian pengunjung yang turut memberi makan kepada kawanan burung itu.

Kemeriahan dataran itu ditambah dengan persembahan seorang lelaki berbasikal roda satu diiringi dengan aksi bahaya menggunakan api. Pengunjung yang berkerumun di kawasan itu nyata terhibur dengan persembahan tersebut.

Tempoh 17 jam itu dirasakan begitu pantas berlalu. Bagaimanapun pengalaman singkat itu cukup memuaskan hati penulis dan berharap untuk kembali lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: