Tuesday, April 19, 2011

Misteri hantu Karak


YUSRY (tengah) bersama barisan pelakon filem seram pertama arahannya, Karak. Turut bergambar sama adalah Norman dan Edry Abdul Halim (kanan).


SELEPAS mengecapi kejayaan melalui filem epik Hikayat Merong Mahawangsa, KRU Studios bakal muncul dengan naskhah terbaru mereka menerusi filem bergenre seram berjudul Karak.

Bakal menjengah pawagam 26 Mei depan, Karak tidak terkecuali daripada menerima sentuhan magis pengarah tersohor, Yusry Abdul Halim yang buat julung-julung kalinya mengarahkan filem seram.

Berkisarkan tentang perjalanan empat sekawan yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan sebelum mereka mengalami kesesakan yang luar biasa sehingga nekad untuk mencari jalan alternatif.

Tanpa disedari, keputusan nekad yang diambil menyebabkan mereka berdepan dengan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai Karak, menurut Norman, filem tersebut digarap berdasarkan kisah yang biasa didengari berkenaan dengan lebuh raya tersebut.

“Kami jahitkan cerita yang pernah berlaku di kawasan tersebut dan kisah yang menjadi buah mulut orang.

“Dalam filem ini juga, ada 10 entiti paranormal yang akan dipersembahkan. Selain itu, kami juga ada membuat beberapa kajian untuk digarap menjadi sebuah filem,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar filem itu di ibu negara baru-baru ini.

Ditanya tentang motif sebenar KRU Studios menerbitkan naskhah seram, Norman memberitahu, ia bertujuan untuk mempelbagaikan genre filem terbitan produksinya.

Ujarnya lagi, selain Magika, pihaknya juga akan menerbitkan filem bercorak komedi, penggunaan binatang sebagai objek utama selain genre yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Kalau semua filem yang diterbitkan bercorak sama seperti aksi, seram dan komedi, orang akan jemu,” jelasnya sambil memberitahu jumlah kos yang dikeluarkan untuk Karak adalah antara yang paling rendah iaitu RM1.5 juta.

Muka baru

Karak menampilkan empat pelakon utama yang juga muka baru iaitu Shahir AF8 yang memegang watak sebagai Nik, Shera Ayob (Zura), Along Ezeyndy (Jack) dan Kilafairy (Ida) serta seorang pelakon veteran iaitu Sidek Hussin (Tok Malam).

Dalam pada itu, Yusry ketika diajukan pertanyaan mengenai pengambil muka-muka baru, dia berpendapat bahawa ia berdasarkan keperluan jalan cerita yang memerlukan keaslian bagi menimbulkan perasaan seolah-olah kejadian dalam filem itu benar-benar berlaku.

“Pemilihan pelakon baru memang disengajakan. Ia untuk memberi nafas baru dan kelainan.

“Untuk itu, sebuah bengkel telah diadakan sebelum hari penggambaran agar mereka berpeluang untuk mengenali antara satu sama lain sebelum berlakon. Ia sebenarnya membantu untuk menjayakan peranan masing-masing,” terang Yusry.

Menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar Lembah Pangsun, Cyberjaya dan Beranang, Yusry mengakui berdepan dengan cabaran kerana filem tersebut mengisahkan apa yang berlaku dalam satu malam.

“Penggambaran hanya akan bermula selepas matahari jatuh dan berhenti sebelum matahari terbit, jadi semua jadi ‘hantu’ kerana tidur siang dan malam bekerja.

“Waktu malam agak singkat, jadi kena cepat dan saya akui ia agak memenatkan. Bagaimanapun, penggambaran di dalam studio sebenarnya banyak membantu mempercepatkan proses penggambaran,” katanya.

Sebuah lagu tema juga akan mengiringi filem Karak yang bertajuk Kerek nyanyian Bandi Amuk ciptaan sepenuhnya oleh Edry.

Sementara itu, pelakon yang ditemui mengakui teruja dengan filem tersebut terutama bagi Shahir dan Kilafairy yang baru pertama kali mencuba cabang lakonan.

“Saya banyak belajar dalam filem pertama ini. Babak yang paling mencabar ialah babak sedih kerana saya perlu menangis. Untuk menjayakannya, saya turut dibantu oleh jurusolek. Ia sungguh sukar bagi saya,” ulas Shahir.

Kilafairy turut berkongsi keterujaan yang sama melalui filem pertamanya itu.

“Ini filem pertama saya, mestilah mencabar, tetapi dengan tunjuk ajar oleh pengarah secara tidak langsung meringankan cabaran yang ada. Saya sungguh teruja dan tidak sabar untuk melihat hasil lakonan saya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: