KEBERKESANAN lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah di dalam drama bersiri Nur Kasih sebagai Adam dan Nur Amina telah mencuri hati penonton apabila mereka berganding sebagai pasangan suami isteri yang menghadapi pelbagai liku.
Kejayaan mereka menghidupkan tanggungjawab masing-masing di layar kaca telah membuat ramai penonton yang mahukan pasangan tersebut bergandingan di dalam dunia realiti kerana mereka dilihat sebagai pasangan ideal apabila bersama.
Satu ketika semasa Nur Kasih sedang rancak dipertontonkan di kaca televisyen, telah tersebar luas gosip yang mengatakan dua orang pelakon muda ini sedang benar-benar berpacaran.
Namun, seperti angin yang bertiup, ia hilang begitu sahaja ditelan masa. Namun, apabila mereka mula digandingkan semula di dalam filem Nur Kasih The Movie, persoalan timbul semula bahawa pasangan ini memang sedang dilamun cinta.
Bagi Tiz, perkara ini (gosip bercinta) tidak akan pernah berhenti setiap kali mereka digandingkan bersama. Akan tetapi, ia merupakan satu perkara elok bagi dirinya sebagai seorang pelakon kerana mengganggap ‘kepercayaan’ tersebut adalah kejayaan bagi kariernya.
“Ia adalah perkara baik bagi karier saya kerana mereka percaya apa yang saya lakonkan bermakna lakonan saya menjadi. Namun, orang sentiasa akan bertanya dan bercakap tentang perkara ini.
“Kami tidak pernah terbawa-bawa watak Nur Amina dan Adam sehingga ke luar set,” ujar Tiz yang sentiasa tersenyum dan ketawa menjawab soalan-soalan yang diajukan kepadanya.
Ia sekali gus sebagai tanda bahawa Tiz menafikan dia dan Remy adalah satu pasangan.
Tambahnya lagi, hubungannya bersama Remy adalah seperti rakan sekerja yang lain dan sentiasa berfikiran profesional apabila menyentuh hal-hal kerja.
Berbeza dengan jawapan yang diberikan Remy, bicaranya jujur, dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Ini kerana sejak kecil, dia telah dididik oleh orang tuanya supaya sentiasa hormati orang lain.
Jika mahu dihitung semula, Remy sering dikaitkan bercinta dengan heroin yang bergandingan bersamanya di dalam filem mahupun drama.
Bukan sahaja dengan Tiz malah bersama pelakon jelita Maya Karin yang berpasangan bersamanya di dalam filem Cun.
“Semua ini adalah cerita untuk mewarnai rencah di dalam industri seni. Namun, bagi saya, setiap orang berhak memberi penilaian mereka terhadap apa jua perkara kerana itu adalah hak mereka.
“Perkara sama akan terjadi jika telah berkahwin mahupun bujang kerana jika mereka mahu bercakap, mereka akan tetap bercakap mengenainya juga. Janji saya tahu batasan serta tujuan saya. Itu sudah memadai,” jelasnya tentang gosip percintaan dengan Tiz.
Menambah jawapan kepada persoalan tersebut, Remy memberitahu dengan nada tenang bahawa kadang kala perkara ini meletihkan. Namun, segalanya diterima dengan reda dan sabar kerana ia adalah hak masing-masing untuk meluahkan apa jua perkara.
Tiada Lagi Nur Kasih
Setelah lebih kurang dua setengah tahun berehat dari watak Adam dan Amina, kini menerusi Nur Kasih The Movie, Remy dan Tiz sekali lagi diberi cabaran mendukung watak itu.
Mempunyai pendapat yang agak sama, kedua-duanya mengakui merindukan watak Adam dan Nur Amina serta fenomena yang telah diwujudkan melalui drama tersebut.
Namun menrusi versi filem, ia menampilkan watak Adam dan Nur Amina lebih matang dalam mengharungi kisah hidup mereka.
“Ia merupakan sambungan penceritaan selepas beberapa tahun dari penghujung bagi drama bersiri Nur Kasih. Jadi Adam kini berfikiran agak matang dan hubungan cinta bersama isterinya Nur Amina serta keluarganya juga matang.
“Terdapat perbezaan konflik yang mana Adam mengalami karma di dalam kehidupannya yang mendapat ketentuan Tuhan terhadap apa yang dilakukannya sebelum ini,” bicara Remy mengenai wataknya sebagai Adam.
Menurutnya, apa yang cuba mahu ditonjolkan dalam Nur Kasih The Movie adalah mengenai ketentuan Illahi. Watak mereka itu dibesarkan di dalam persoalan serta pencarian dengan menghadapi cabaran-cabaran daripada Tuhan dan bukan lagi konflik di dalam percintaan dan keluarga seperti mana yang ditonjolkan dalam drama Nur Kasih.
Bagi Remy, penceritaan dan pembawakan watak dalam Nur Kasih The Movie lebih berat kerana ia berskala lebih besar, permainan dalaman dan penceritaannya lebih menarik.
Oleh itu, dengan fenomena yang telah dicetuskan semasa penyiarannya di kaca televisyen, penonton akan meletak harapan yang tinggi terhadap filem ini.
“Saya tidak nafikan jangkaan penonton terhadap Nur Kasih The Movie memang tinggi. Saya sebagai pelakon sendiri sememangnya mahu berikan yang terbaik begitu juga pelakon dan krew-krew Nur Kasih yang lain.
“Secara jujur memang kami semua sudah lakukan yang terbaik dan kami berharap penonton berpuas hati dengannya kelak,” ujar Remy yang memberitahu dirinya masih gugup walapun telah lima tahun berkecimpung di dalam dunia hiburan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: