BIARPUN sudah lebih tiga tahun dia pergi mengadap Ilahi, namun sumbangan penulis lirik terkenal iaitu Rosli Khamis atau lebih sinonim dengan nama Loloq dalam industri nyanyian ternyata tidak terkira.
Sepanjang hayatnya, arwah yang telah meninggal dunia pada 30 Januari 2008 telah menulis kira-kira 2,000 lirik lagu dan sudah tentu ia merupakan satu pencapaian yang agak sukar untuk ditandingi.
Bagi mengenang jasanya sebagai seorang penulis lirik yang cukup berprolifik tinggi, maka satu inisiatif telah diambil dengan menganjurkan satu konsert khas iaitu Konsert Untukmu Loloq.
Diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 hingga 24 April yang lalu, ia telah dijayakan secara bersama oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Badan Kesenian Mindef dan Global Network Entertainment Sdn. Bhd.
Lebih menarik lagi, ia turut dijayakan oleh empat orang penyanyi popular tanah air yang selama ini diketahui banyak menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Loloq iaitu M.Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider.
Berlangsung selama hampir dua jam, peminat yang hadir menyaksikan konsert berkenaan telah dihiburkan dengan lagu-lagu seperti Nuri, Bagaikan Puteri (Ella), Andalusia, Apokalips (M.Nasir), Syair Laila, Majnun (Ramli Sarip), Aladin dan Cinta Dewa Dewi (Spider).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut meluangkan masa untuk hadir menyaksikan konsert berkenaan berkata, konsert yang dianjurkan itu adalah satu bentuk pengiktirafan buat Loloq yang banyak memberikan sumbangan kepada industri nyanyian di negara ini.
“Sebelum ini tiada mana-mana pihak yang mengambil inisiatif untuk memberi pengiktirafan kepada allahyarham. Jadi, pihak KPKK dan Badan Kesenian Kementerian Pertahanan mengambil keputusan untuk menganjurkan konsert ini untuk memberi penghargaan kepadanya.
“Sebahagian daripada penjualan tiket konsert yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini akan disumbangkan kepada keluarga allahyarham terutamanya untuk perbelanjaan pembelajaran anak-anaknya,” jelasnya selepas konsert berakhir.
Ujar Zahid lagi, beliau juga turut mengenali penulis lirik berkenaan melalui M. Nasir dan Ramli Sarip ketika sama-sama menyertai konvoi kembara Merdeka sempena Tahun Melawat Malaysia pada Julai 2007.
Sebak
Beliau turut menyifatkan pemergian Loloq sebagai satu kehilangan yang sangat berharga dan menganggap Loloq sebagai sebutir permata yang berkilauan di pentas seni tanah air menerusi hasil karyanya yang cukup indah, puitis, bernas dan bermutu.
Biarpun hanya berlangsung selama tiga hari sahaja, namun konsert yang menampilkan nama-nama besar itu tetap berlangsung dengan jayanya melalui satu persembahan yang cukup memukau dan tidak mengecewakan.
Malah, penyanyi utama kumpulan Spider iaitu Tam tidak dapat menyanyikan salah sebuah lagu dengan baik pada malam persembahan untuk tetamu jemputan dan pihak media kerana berasa sangat sebak.
“Mungkin ramai yang menyangka saya terlupa lirik, tetapi yang sebenarnya saya memang sebak dan perkara itu memang tidak disengajakan. Lagipun sewaktu latihan tidak pula terjadi seperti malam ini.
“Memang selama ini kumpulan Spider selalu bekerjasama dengan allahyarham dan begitu banyak kenangan yang sukar untuk dilupakan. Malah, saya sangat berterima kasih kerana kami diberi peluang untuk menjayakan konsert ini,” ujar Tam.
Sementara Ella yang turut menjayakan konsert berkenaan pula menyatakan sehingga kini masih belum ada lagi individu yang mampu menggantikan tempat Loloq sebagai seorang penulis lirik yang hebat dan istimewa.
Biarpun secara peribadi menganggap Loloq sebagai seorang individu yang kelakar, namun dia merasakan penulis lirik itu adalah seorang insan yang cukup unik kerana setiap hasil karyanya sangat bernilai dan mempunyai maksud yang tersendiri.
“Banyak perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang bekerjasama dengannya. Pada masa yang sama saya rasa sangat beruntung kerana mendapat bimbingan daripadanya dan bertuah kerana segala ilmu yang dicurahkan memang sangat bermakna,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: