Tuesday, April 19, 2011

Jualan kereta Mac cecah 63,265 unit


PENINGKATAN angka jualan kereta pada bulan Mac turut dipacu oleh kebimbangan kekurangan bekalan dan peningkatan harga akibat bencana di Jepun.


KUALA LUMPUR - Jualan kenderaan pada bulan Mac meningkat kepada paras tertinggi iaitu 63,265 unit, pertambahan 22,878 unit atau 56.6 peratus daripada jualan bulan lalu dan 12.7 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun sebelum.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, volum jualan bagi tiga bulan pertama tahun ini naik 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Hari bekerja yang panjang pada bulan Mac dan penghantaran serta invois segera oleh syarikat-syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Mac menyebabkan pertumbuhan jualan yang lebih tinggi.

"Kebimbangan kemungkinan kekurangan bekalan dan peningkatan harga kenderaan akibat bencana di Jepun juga mungkin sebab pembelian awal pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ia menambah, pengeluaran kenderaan pada bulan Mac pula naik kepada 53,124 unit daripada 51,579 unit pada bulan yang sama 2010.

"Pengeluaran kenderaan penumpang pada Mac naik kepada 49,118 unit daripada 47,729 unit berbanding tempoh yang sama 2010, sementara pengeluaran kenderaan komersial meningkat kepada 4,006 unit daripada 3,850 unit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: