Thursday, April 28, 2011

Peniaga jajan kena serbu

PENGUATKUASA MPJBT mengeluarkan  kompaun  peniaga di luar sekolah  di Johor Bahru, semalam.
PENGUATKUASA MPJBT mengeluarkan kompaun peniaga di luar sekolah di Johor Bahru, semalam.
PBT seluruh negara buat pemeriksaan, kompaun penjaja ingkar

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara mula menggempur peniaga menjual makanan tidak sihat seperti air berkarbonat dan jajan di luar kawasan sekolah yang menjadi antara faktor kepada masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.Ia susulan gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang meminta pihak berkuasa menguatkuasakan larangan terhadap peniaga dan penjaja yang menjual kebanyakan daripada senarai 15 jenis makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah.
Di KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengkompaun tiga penjaja yang menjual jajan di luar sekolah dalam operasi menggempur peniaga dan penjaja makanan ringan, semalam.

Setiausaha MBKT, Samiun Salleh yang mengetuai operasi tengah hari semalam berkata Bahagian Penguatkuasaan MBKT menjalankan operasi berkala untuk membendung penjualan makanan ringan tidak berkhasiat di luar kawasan sekolah dengan 30 peniaga dikesan melakukan kegiatan itu.

Di JOHOR BAHRU, sekurang-kurangnya lima penjaja dikompaun kerana tiada lesen perniagaan, selain mengganggu lalu lintas dengan berniaga di hentian bas depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, di sini semalam.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Izwan Izwardi Harun, berkata peniaga dan penjaja dilarang sama sekali berniaga di depan sekolah kerana ia menyalahi undang-undang.
Di MELAKA, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberi jaminan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penjaja, termasuk menarik lesen penjaja yang degil.

Datuk Bandarnya, Zainal Abu berkata tindakan itu bagi memastikan lalu lintas tidak terganggu selain memastikan pelajar tidak membeli makanan tidak berkhasiat.

Di SHAH ALAM pula, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk penjaja di sekitar kawasan sekolah.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, mana-mana penjaja beroperasi di sekitar kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 dan dikenakan kompaun RM300.

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagaimanapun mempersoalkan serangan banyak pihak yang menyalahkan penjaja sebagai punca obesiti dan diabetes di kalangan pelajar.

Kuat kuasa larangan jual makanan tak sihat

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melarang peniaga dan penjaja makanan tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar berniaga di luar kawasan berhampiran sekolah jika benar-benar serius mahu menangani masalah pemakanan yang boleh menyebabkan obesiti dan diabetes yang berpunca daripada amalan pemakanan tidak sihat.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga digesa meningkatkan penguatkuasaan dengan melesenkan semua peniaga atau penjaja dengan syarat tidak menjual makanan yang tersenarai dalam 15 makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah.

Itu antara cadangan dan gesaan beberapa pihak, termasuk badan bukan kerajaan, aktivis pengguna, guru dan ibu bapa yang menyokong penuh hasrat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Kantin Sekolah bagi menangani obesiti dan diabetes di kalangan pelajar.

Mereka juga mahu PBT tidak hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam menguatkuasakan larangan itu jika cadangan itu dilaksanakan kerana penguatkuasaan adalah kunci utama menjayakan perkara itu, selain kerjasama dan komitmen ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) di semua sekolah.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kerajaan sepatutnya tidak membenarkan peniaga dan penjaja menjual makanan tidak sihat di luar sekolah jika melaksanakan garis panduan baru itu bulan depan.

“Sekolah sudah ada kantin dengan kebersihan dan keselamatan makanan di kawal. Jadi tidak perlu penjaja di luar sekolah. Kita tidak boleh ambil mudah pelaksanaan garis panduan dengan menghalalkan penjaja luar sekolah yang tidak tertakluk kepada peraturan itu.

“FOMCA memang tak setuju benarkan peniaga dan penjaja di luar sekolah kerana kebanyakannya menjual makanan ringan tidak berkhasiat dan boleh membahayakan kesihatan dalam jangka panjang,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Aktivis pengguna, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa juga boleh melarang peniaga atau penjaja menjual dalam lingkungan jarak tertentu, misalnya 50 meter dari sekolah, namun ia bergantung kepada tindakan penguatkuasaan tegas.

“Larangan hadkan kawasan boleh dikenakan tetapi langkah terbaik adalah ibu bapa dan PIBG main peranan mendidik pelajar... peraturan larangan tidak akan selesaikan masalah, cuma kurangkan masalah,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati kebanyakan peniaga dan penjaja di luar
sekolah tidak mempunyai lesen serta tidak dipantau pihak berkuasa dengan kebanyakannya beroperasi dalam tempoh kurang dua jam selepas jam 12 tengahari dalam but kereta, motosikal atau membuka gerai sementara berhampiran sekolah.

Bagi pesara swasta, Mohd Ilias Abdul Razak, 62, beliau menyokong larangan penjualan makanan tidak sihat di luar kawasan sekolah kerana ia bukan saja membazirkan wang pelajar, malah membahayakan kesihatan mereka dalam jangka panjang.

Ada penjaja luar sekolah jual mercun, mainan berbahaya

KUALA LUMPUR: Selain jajan yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar, ada penjaja di luar sekolah dikesan menjual mercun dan permainan berbahaya, termasuk pistol berpeluru manik.

Penjaja seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan pelajar dengan membiarkan mereka berkerumun untuk membeli barang jualan, terutama selepas tamat persekolahan walaupun keadaan trafik ketika itu sedang sibuk bas sekolah dan kenderaan ibu bapa.

Sehubungan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak mendapat aduan kerana bimbang risiko kesihatan dan keselamatan anak mereka akibat isu penjaja di luar sekolah yang dianggap sebagai sudah berlarutan.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat Bangi dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bangi, Roslan Mohamed, berkata ada penjaja di luar sekolah berani menjual mercun kepada pelajar, khususnya menjelang musim perayaan.

“Apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali-sekala membuat operasi, mereka menghilangkan diri untuk tempoh singkat tetapi kembali menjaja di luar sekolah seolah-olah tidak serik walaupun dikenakan kompaun. Malah, kegiatan menjaja ini turut membabitkan warga asing,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Yang Dipertua PIBG SK Taman Sri Gombak 2 dan SMK Sungai Pusu, Mohd Asri Sulong, berkata kegiatan penjaja di luar sekolah bukan isu remeh, sekali gus meminta pihak berkuasa tidak sekadar menanganinya secara melepaskan batok di tangga.

“Keadaan pelajar berkerumun dan berebut membeli daripada penjaja di luar sekolah amat berbahaya dalam keadaan trafik sibuk selepas tamat waktu persekolahan, di samping mengakibatkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Yang Dipertua PIBG SK Bukit Bandaraya, Azman Hasim, berkata amalan pelajar membeli jualan penjaja di luar sekolah menambahkan beban kewangan ibu bapa apabila anak mereka meminta lebih wang saku.

Bekas Yang Dipertua SK Sungai Pusu, Raja Azlan Raja Abdul Aziz, pula mahu operasi penjaja di luar sekolah digempur habis-habisan secara berterusan, lebih-lebih lagi mereka tidak pernah mengendahkan nasihat pihak sekolah dan ibu bapa.

Sementara itu di Kuching, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina, berkata PBT perlu segera menguatkuasakan larangan itu kerana hampir semua sekolah rendah dan menengah di bandar utama di Sarawak berhadapan masalah penjaja jajan sejak dulu.

“Kebanyakan penjaja jajan yang menjadi tumpuan pelajar bukan saja tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan PBT, malah mengabaikan kebersihan makanan dan minuman yang dijual,” katanya.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Mahli, berkata ketegasan PBT akan menyekat penjaja jajan terus beroperasi bukan saja di luar kawasan sekolah, malah di tepi jalan yang dilalui pelajar ketika pulang sekolah.

Pegawai Perhubungan Awam, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Norhayati Bidin, berkata kewujudan penjaja jajan di luar kawasan sekolah sukar dibanteras kerana mereka sentiasa memantau kehadiran pihak penguatkuasa DBKU dan menyimpan semua barangan yang dijual sejurus melihat kelibat penguat kuasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: