Friday, April 29, 2011

'Permainan' Maharaja Lawak


AMIR membawa watak seorang superhero.


GELANGGANG Maharaja Lawak bakal berdepan dengan kejutan pada minggu keenam nanti. Kejutan itu bagaimanapun tidak akan dapat dijangka oleh penonton.

“Format dan rancangan sudah ada. Semuanya telah dirancang sejak awal lagi. Kejutan itu bakal disaksikan penonton pada minggu keenam atau ketujuh gelanggang Maharaja Lawak nanti,” kata Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani ketika ditemui selepas pertandingan minggu keempat program tersebut di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor.

Katanya lagi, juri juga mempunyai satu imuniti yang bakal diberikan kepada peserta yang terkeluar.

“Imuniti ini hanya boleh digunakan sekali sahaja oleh juri. Malah, ketiga-tiga juri harus sebulat suara memilih peserta yang terkeluar untuk dimasukkan semula ke gelanggang Maharaja Lawak,” katanya mengenai strategi program tersebut.

Pada minggu keempat program tersebut menyaksikan Alex disingkirkan kerana persembahannya gagal memikat hati juri dan penonton.

Alex atau nama sebenarnya Alexander Ahat, 30, merupakan peserta yang menerima jumlah undian paling rendah daripada juri dan penonton di gelanggang Maharaja Lawak yang berlangsung di Finas, Jumaat lalu.

Ternyata Alex yang juga finalis Raja Lawak musim keempat itu akur dan menerima keputusan penyingkiran tersebut.

Saat diajukan soalan mengenai penyingkiran tersebut, Alex yang berasal dari Papar, Sabah itu mengaku yang dia bukan seorang pelawak tetapi teringin menjadi pelawak. Malah, dia turut memberitahu lebih selesa membuat lawak di sebalik tabir.

“Terus-terang saya sudah lama sedar saya bukannya pelawak sebenar dan tidak pandai melawak tetapi disebabkan sokongan kuat oleh penonton dan peminat, akhirnya saya berjaya sampai ke tahap ini.

“Saya lebih suka membuat lawak di sebalik tabir. Saya juga sedar bakat dan minat saya lebih kepada penulisan skrip untuk persembahan atau cerita lawak. Jadi mungkin jika diberi peluang selepas ini saya mahu menjadi orang di sebalik tabir,” katanya jujur.

Katanya, peluang menyertai Maharaja Lawak memberi satu penghormatan kepadanya.

“Pihak Astro mengubah keyakinan diri saya. Mereka telah berjaya mengubah budak gemuk macam saya jadi orang yang terkenal.

“Selain mahu berterima kasih kepada pihak Astro yang telah memberi peluang kepada saya untuk dikenali, saya juga ingin berterima kasih kepada pengundi dan peminat yang selama ini tak henti menyokong dan mengundi saya,“ katanya lagi.

Selepas Alex tersingkir, barisan Maharaja Lawak kini hanya tinggal Jozan, Nabil, Jambu, Balas , Amir, Man dan Jihan.

Pada minggu keempat ini, kesemua peserta telah melakukan persembahan dengan baik dan menarik.

Paling tidak disangka-sangka adalah Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 23. Mendapat banyak kritikan juri dan penonton melalui persembahan-persembahannya yang terdahulu, ramai yang menjangkakan Amir terkeluar pada malam itu.

Ternyata, persembahannya pada malam itu berjaya mendapat tepukan penonton malah pujian daripada juri, Mamat Khalid.

“Terus terang pada mulanya saya berpendapat Amir yang akan terkeluar malam ini (Jumaat lalu). Daripada semangat sifar (kosong) dia berjaya mengubah perasaan penonton dan juri melalui persembahannya,” kata Mamat Khalid.

Ulasnya, persembahan Amir memang tidak boleh dibandingkan dengan persembahan peserta-peserta berpengalaman dalam Maharaja Lawak, tetapi dia mampu melakukan persembahan di luar jangkaan.

“Dia berani mempermainkan juri dengan topik yang dibawanya dan itu menyebabkan saya kata dia bagus,’ katanya.

Amir membawa watak seorang superhero yang mencari pekerja. Berpandukan karikatur ketiga-tiga juri Maharaja Lawak, Amir berjaya mempermainkan juri-juri tersebut melalui persembahannya.

Selain Mamat, barisan juri pengkritik Maharaja Lawak turut dibarisi oleh pengarah, Ahmad Idham dan pelawak, Saiful Apek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: