GEMPA bumi dahsyat yang menggegarkan Jepun pada awal Mac lalu hampir memadamkan hasrat untuk bercuti ke Pulau Mabul yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pantai timur Sabah.
Walaupun berada di luar lingkaran gempa, pulau yang mengadap Laut Celebes itu tetap berisiko menerima ancaman tsunami jika Filipina dan Indonesia bergegar.
Penerbangan ke Tawau ketika itu hanya beberapa hari selepas gulungan ombak meranapkan bandar-bandar di tepi pantai Jepun. Lebih merisaukan apabila ramalan mengatakan satu lagi gegaran kuat bakal menyusul.
Namun untuk mengorbankan percutian ke destinasi selam antara yang terbaik di dunia itu dirasakan seperti satu 'pembaziran'.
Kerisauan di hati semakin terubat apabila kerajaan mengesahkan tiada kebocoran radiasi nuklear akan sampai ke perairan Sabah.
Dari Tawau perjalanan diteruskan ke Semporna. Dari Semporna perjalanan denganbot laju selama setengah jam berhenti di 'jeti' sebuah rumah terapung. Ketibaan di Spheredivers Lodge & Tours Sdn. Bhd. itu disambut oleh Stanley Csie Kian Kong dan Azhar Adnan, dua sahabat yang mengendalikan penginapan bajet itu sejak tiga tahun lalu.
Tanpa dekorasi mewah, penginapan ala inap desa yang dibina di celah rumah-rumah kampung nelayan itu cukup mendamaikan.
Beberapa orang tetamu iaitu pelancong yang menginap di situ kelihatan bersantai di ruang tamu sambil menikmati pisang goreng bersama kopi panas.
Air yang surut sehingga paras lutut pada petang itu menampakkan dasar Mabul yang dipenuhi rumput laut dan tapak sulaiman. Dari anjung calet, kelihatan beberapa ekor ikan nemo yang bersarang di tepi tiang. Keintiman alam seperti itu adalah sesuatu yang tidak mudah dilihat di pulau-pulau di Semenanjung Malaysia.
Mabul kehilangan cahaya sekitar pukul 6.30 petang. Tidak lama selepas itu warna-warna firus di langit perlahan-lahan bertukar menjadi merah dan kuning keemasan.
Pemandangan dari calet yang mengadap tepat ke arah barat itu menjadi lokasi terbaik menyaksikan keindahan matahari terbenam.
Keheningan senja di kaki langit itu sesekali diselangi deruan enjin bot nelayan yang pulang membawa hasil tangkapan. Permukaan laut ketika itu tenang malah langsung tidak mencetuskan kerisauan berada di tengah laut.
Mengintai penghuni di dasar
SELEPAS menikmati pesona alam di permukaan Mabul, masa untuk menyelongkar keindahan alam marinnya tiba. Azhar dan Stanley menemani saya dan beberapa orang penyelam turun ke beberapa lokasi kegemaran mereka.
Pandangan pertama ke dasar Mabul di House Reef disambut oleh ribuan jackfish yang berenang secara berpusingan seperti puting beliung. Keasyikan tersebut membawa penulis ke tengah-tengah pusaran dan merakam saat yang dinantikan sejak sekian lama.
Azhar yang yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam dunia selam skuba kemudian menunjukkan kami pelbagai spesies unik yang menghuni dasar dengan purata kedalaman antara 20 hingga 30 meter itu.
Daripada hidupan sehalus butir beras yang kaku hinggalah spesies berbisa yang pakar dalam teknik penyamaran bentuk dan warna.
Di penghujung selaman, keterujaan memerhatikan sekumpulan ikan alu-alu dikejutkan dengan kelibat seekor kerapu gergasi sepanjang sekurang-kurangnya dua meter. Kami akhirnya timbul dengan kepuasan di wajah masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: