PETALING JAYA: Bekas isteri penyanyi Akhil Hayy iaitu Maizawati Zainal, 36, (gambar) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Qhabel Izz Qhushairy.
Dia bersalin dalam keadaan normal di Hospital Kuala Lumpur, dekat sini pukul 4.15 pagi, Rabu.
Bayi tersebut merupakan bayi pertama hasil perkahwinan ketiga Maizawati dengan Mohd. Yassin Ben @ Abd. Rahim, 23. Mereka bernikah pada 9 Ogos tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.86 kilogram secara normal. Saya dan bayi berada dalam keadaan baik.
“Antara orang yang paling gembira mendengar berita ini adalah suami saya, Yassin kerana bayi ini merupakan anak pertamanya dan lebih menggembirakan apabila mengetahui bayi ini adalah bayi lelaki,” ujar Maizawati ketika dihubungi mStar Online, Rabu.
Maizawati pada mulanya tidak merancang untuk bersalin di Kuala Lumpur sebaliknya dia datang dari Ipoh untuk menziarahi saudara-maranya.
“Saya datang ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan dimasukkan ke hospital pada petang semalam (Selasa). Jika tiada apa-apa masalah, mungkin saya dibenarkan keluar hospital pada tengah hari esok,” katanya lagi.
Qhabel merupakan anak ketujuh Maizawati. Dia mempunyai empat orang anak dengan bekas suaminya iaitu penceramah bebas, penyanyi dan pengacara Akhil Hayy. Pasangan itu bercerai pada 15 Julai tahun lalu.
Sementara dua anak lagi merupakan hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya yang berasal dari Kelantan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: