Saturday, April 30, 2011

Bertam Ulu FC nak balas dendam


PEMAIN pasukan Bertam Ulu FC menjalani latihan sebagai persiapan untuk menyertai kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 di Klebang, Melaka semalam.


MELAKA - Naib juara kategori Terbuka Lelaki musim lalu, Bertam Ulu FC bertekad mahu menebus kekecewaan pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan bermula pada 26 hingga 29 Mei depan.

Ketua pasukan, Mohd. Ayob Alias berkata, mereka hanya selangkah untuk bergelar juara pada edisi pertama Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! tahun lalu, namun dikecewakan oleh pasukan Gelombang B dengan keputusan 3-0 pada aksi final.

"Kami mahu melupakan kekalahan itu dan tahun ini kami berazam untuk menunjukkan persembahan terbaik dan membawa pulang gelaran juara," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Ayob, Gelombang B dijangka kembali menyertai kejohanan tersebut dan mereka mahu melunaskan dendam lama sekiranya bertemu pasukan itu sekali lagi.

"Pengalaman pada perlawanan akhir tahun lalu sedikit sebanyak memberi kami panduan bagaimana untuk mengatasi mereka," ujarnya.

Mohd. Ayob berkata, kejohanan edisi kedua Rentap Futsal itu semakin besar dan meriah malah hadiahnya juga bertambah.

"Saingan kali ini pasti semakin sukar dan mencabar, namun Bertam Ulu FC tidak gentar dan kami akan bermain seperti biasa," katanya.

Menurutnya, mereka akan menghantar dua pasukan bagi menyertai kejohanan berkenaan berbanding hanya satu pasukan pada tahun lalu.

"Selain Bertam Ulu FC yang akan bertanding dalam kategori Terbuka Lelaki, satu lagi pasukan iaitu Bertam Ulu Equal bakal menyertai kategori Larut Malam," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: