PROGRAM realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia termasuklah musim kesembilan (AF9) tidak lekang dengan elemen penyingkiran pesertanya yang mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah.
Mulai konsert minggu ketiga minggu lalu juga, AF9 turut memperkenalkan Operasi Gugur bagi menyingkirkan para pelajarnya atas budi bicara pengetuanya, tenaga pengajar dan melalui undian SMS penonton.
Program realiti terbitan Astro Ria itu memperkenalkan format itu sebagai suatu kejutan selain bagi mempertingkatkan mutu persembahan dan komitmen para pelajarnya.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, format yang pertama kalinya diperkenalkan menerusi AF itu juga sebagai satu cara memberi peluang kepada para peserta lain menyertai program realiti TV itu.
"Operasi Gugur satu lagi kaedah menyingkirkan pelajar AF9 di mana 50 peratus keputusan itu dibuat oleh pengetuanya, Amy Search dan para tenaga pengajarnya. Baki 50 peratus lagi lagi daripada SMS penonton.
"Penilaian dibuat berdasarkan kualiti, prestasi dan komitmen para pelajar AF9. Ia adalah kuasa yang diberikan kepada mereka. Bagaimanapun format ini tidak dipraktikkan pada setiap minggu dan ia mengikut keperluan," katanya.
Pada sidang akhbar selepas konsert AF9 minggu ketiga itu, Azlin berkata, peserta yang disingkirkan menerusi Operasi Gugur akan digantikan peserta yang gagal dalam uji bakat sebelum ini.
Pada Operasi Gugur itu, dua pelajar AF9 iaitu Aida dan Amir telah disingkirkan di mana tempat mereka digantikan oleh Hazama dan Fina.
"Pemilihan Hazama dan Fina bagi memberi peluang mereka menyertai AF9 selepas mereka tidak terpilih dalam sesi-sesi uji bakat yang diadakan sebelum ini. Hazama misalnya, pernah menyertai uji bakat AF4 dan AF5.
"Sementara, Fina juga pernah menyertai uji bakat AF9 tetapi ketika itu dia belum berusia 18 tahun. Ini kerana, syarat menyertai AF setiap peserta itu mestilah berusia 18 tahun dan ke atas. Sebab itu Operasi Gugur ini diadakan," ujarnya.
Pada masa sama pengetua AF9, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search menjelaskan, Operasi Gugur diwujudkan bagi memastikan setiap pelajarnya bekerja lebih keras.
Katanya, keputusan itu dilakukan atas perbincangannya dengan para tenaga pengajar lain di mana ia juga digabungkan dengan undian SMS para penonton yang turut menentukan itu.
"Keputusan penyingkiran ini kami putuskan pada malam ini. Kami membuat keputusan itu berdasarkan pelbagai kriteria. Contohnya, soal komitmen yang diberikan oleh seseorang peserta dan kami tidak berkompromi dalam hal ini.
"Kami juga meneliti bakat dan prestasi setiap pelajar. Kalau tiada peningkatan, lebih baik kami membuka peluang itu kepada para peserta lain yang lebih berbakat," jelasnya.
AF9 tidak terkecuali menyingkirkan pesertanya seperti biasa hampir pada setiap minggu kerana mendapat undian SMS terendah.
Miza atau Roshammizah Rosli, 28, yang merupakan peserta AF9 yang ketiga disingkirkan selepas Laika dan Eka seakan-akan sudah menduga akan disingkirkan daripada program itu.
Miza dan Kay berada di tangga tercorot, Erul pula tertinggi dengan 15 peratus SMS, Lena (15 peratus), Raqib (14 peratus), Aida (11 peratus), Amir (9 peratus), Azri (9 peratus), Nera (9 peratus) dan Afif (7 peratus).
"Saya berharap kalau tersingkir pun biarlah pada minggu keenam atau ketujuh. Saya terima keputusan itu. Mungkin saya tidak ada pakej menarik, contohnya badan saya yang besar.
"Ataupun pemilihan lagu saya kurang penghayatan kerana saya seorang peminat lagu-lagu rock seperti nyanyian kumpulan Korn. Tetapi saya tidak membawakan lagu-lagu seperti itu kerana ramai penonton yang belum menerimanya," katanya.
Amir atau nama penuhnya, Mohamad Amirullah Jahari yang tersingkir daripada Operasi Gugur berazam untuk meneruskan bakatnya dengan muncul sebagai penyanyi solo.
"Saya pernah menyanyi berkumpulan. Tetapi kali ini saya mahu memberi tumpuan menyanyi solo kalau ada peluang. Saya mahu menjadi penyanyi solo yang menyanyi sambil bermain gitar seperti Zee Avi dan Yuna.
"Buat masa ini saya belum ada perancangan lagi tetapi ada baiknya juga saya terkeluar dari AF9 di mana saya akan berjumpa dengan keluarga yang saya tinggalkan sepanjang menyertai pertandingan ini," tuturnya.
Sementara itu, Aida atau nama penuhnya Nur Suhaida Jebat yang tersingkir berasa sedih tetapi pada masa sama bangga kerana perjuangannya itu akan diteruskan oleh adiknya, Fina.
"Sebenarnya saya belum bersedia untuk disingkirkan kerana saya tidak puas belajar menyanyi dan menari dalam AF9. Tetapi, apabila nama adik saya diumumkan menggantikan saya, saya akur dan lihatnya secara positif," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: