BABAK sekumpulan pelajar merakamkan aktiviti paranormal di Istana Bilah.
TANPA pelakon popular dan skrip, namun filem seram Penunggu Istana yang ditayangkan sejak 21 April lalu di 42 pawagam masih dapat mencapai kutipan RM400,000 dalam tempoh empat hari tayangan.Filem bercorak para normal yang membabitkan kos pembikinan kira-kira RM600,000 itu menarik penonton ke pawagam walaupun ia dihasilkan daripada gabungan visual hasil rakaman lima pelajar bagi merungkai misteri di sebalik Istana Bilah di Perak.
Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin berpendapat, filem yang menjalani penggambaran selama 15 hari di istana terbabit mempunyai daya tarikannya tersendiri serta mampu menarik minat penonton.
“Memang (filem) Panggung Malam tiada kekuatan pelakon dan menggunakan konsep baru berkisar tentang para normal.
“Pembikinan filem ini tidak dirancang. Kita menggabungkan visual yang diambil oleh pelajar itu sendiri dan dijadikan satu filem untuk tontonan umum. Mengambil kira faktor itu, sambutan yang diterima memang kita anggap menggalakkan,” katanya.
Permulaan untuk menerbitkan filem terbabit adalah satu langkah berani Primeworks dalam mengenengahkan elemen para normal sebagai tontonan, malah pendekatan yang diambil bertujuan untuk menimbulkan kelainan dalam filem bergenre seram.
Bagi Tengku Iesta, masih terlalu awal untuk membuat ramalan tentang sambutan penonton, namun setakat empat hari tayangan sudah cukup menampakkan penerimaan penonton terhadap filem sedemikian.
“Filem seram sekarang menjadi pilihan penonton bahkan lambakan filem sedemikian merancakkan lagi perkembangan industri filem tempatan, jadi dengan adanya filem para normal ini diharap dapat menarik minat penonton ke panggung.
“Memandangkan ini adalah filem para normal pertama, jadi kita belum merancang untuk membuat filem kedua dan perlu melihat kepada penerimaan penonton.
“Kita buat filem ini bukan untuk penonton menjerit atau suka-suka tetapi bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kewujudan para normal,” katanya.
Malah, filem terbabit dikatakan mendapat sambutan di utara tanah air dengan kehadiran kira-kira 20 peratus penonton berusia lingkungan 15 tahun ke atas.
Dengan lambakan filem baru yang memenuhi pawagam setiap minggu mungkin sedikit menjejaskan kutipan namun Primeworks Studio sebagai penerbit Penunggu Malam, yakin mampu mencapai kutipan balik dalam tempoh berbaki 10 hari tayangan.
“Penonton di utara Semenanung mungkin sudah tahu tentang misteri Istana Bilah dan bila filem ini ditayangkan mungkin mereka ingin tahu lebih lanjut lagi tentang kesahihan cerita yang didengar itu.
“Daripada reaksi penonton kita yakin penonton akan ke panggung tetapi dari segi kelajuan tayangan itu Insyaallah boleh capai sasaran tetapi bergantung kepada kemasukan filem baru di pawagam,” katanya.
Walaupun tidak meletakkan sebarang harapan, namun Tengku Iesta berharap filem terbabit mampu meraih kutipan RM1 juta dan yakin filem sebegini mempunyai peminatnya tersendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: