Saturday, April 30, 2011

Aiman ketandusan gimik persembahan


AIMAN bersama mentornya, Rahim Maarof.


KONSERT Kumpulan B minggu ketiga Mentor 5 secara secara langsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini menyaksikan persembahan hebat daripada Salma yang ditemani mentornya Erra Fazira, Iqa (Edry) dan Aiman (Rahim Maarof).

Bagaimanapun, Aiman yang berada di kedudukan tercorot dengan hanya mendapat kutipan 49 markah, jauh ketinggalan di belakang Salma yang mendapat sebanyak 80 markah dan Iqa (63 markah).

Membiarkan pentas kosong dan membatasi pergerakan, persembahan Aiman menerusi lagu Noktah Cinta dan duet bersama Roy melalui lagu Ratnaku menjadi sedikit lesu berbanding peserta lain biarpun persembahan vokalnya bertenaga.

Persembahan Aiman menerusi Noktah Cinta membuka tirai pentas minggu ketiga Kumpulan B bagaikan tidak menjadi walaupun ia mendapat pujian daripada penyanyi asalnya, Hafiz AF7. Ini kerana Aiman tidak menggunakan pentas dengan optimum.

Juri yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Noraniza Idris memberi komen yang sama kerana Aiman kurang menguasai pentas dan komunikasi dengan audiens, malah dia kelihatan seperti masih tidak berkeyakinan dalam persembahan pertamanya.

Namun bagi Ramli, Aiman merupakan seorang peserta yang mempunyai pakej tetapi masih kurang digilap dengan rapi.

Komen Ramli: “Kamu terlalu serius dengan kerjaya. Warna suara dan visual (rupa) kamu boleh jual tetapi vokal perlu dipenuhi dengan skil. Kamu perlu belajar vokal secara teori dahulu.

Bagi Aiman pula yang dilihat mempunyai perwatakan serius, persembahannya pada malam itu merupakan caranya yang tersendiri untuk menjiwai lagu-lagu yang dibawakan.

Katanya, menggunakan sepenuh pentas yang ada tidak menjamin persembahan yang hebat kerana dia lebih selesa menggunakan cara sendiri untuk menghayati sesebuah lagu.

“Bagi saya, cara setiap penyanyi untuk menghayati sebuah lagu adalah subjektif. Saya lebih selesa dengan cara saya ini.

“Biarpun tidak terlalu bergerak di pentas, tapi ia lebih membuatkan saya menghayati lagu dengan lebih penghayatan,” tegasnya di sidang media selepas tamat konsert.

Duet Iqa, Sudirman

Dalam pada itu, biarpun Mentor 5 belum memasuki separuh akhir, Salma dan Iqa telah menunjukkan momentum kehebatan masing-masing pada persembahan kali ini menerusi vokal bertenaga dan gimik menarik.

Digandingkan bersama Azlan (Azlan & The Typewriter) menerusi lagu Jeritan Batinku, Salma dilihat bertenaga dan masih tidak tenggelam dengan kehebatan vokal Azlan bahkan serasi di pentas.

Menyahut cabaran Ramli pada minggu lalu, persembahan Salma menerusi medley lagu-lagu seperti Penasaran, Kopi Dangdut dan Kabhi Khushi Kabhi Gham bagaikan tiada kekurangan bahkan turut mendapat pujian daripada pengkritik.

Membawa kelainan dalam persembahan duetnya kali ini, Iqa mendendangkan lagu Allahyarham Sudirman, Merisik Khabar dan memberi kejutan kepada penonton apabila seolah-olah berduet dengan penyanyi legenda negara itu.

Selain berjaya memikat penonton melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS), Salma dan Iqa turut membuatkan juri awam bermurah hati dengan memberikan mereka masing-masing sebanyak 19 markah berbanding Aiman yang hanya mendapat 15 markah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: