MURID SK Sungai Damit, Tamparuli berpanas menunggu kenderaan di atas timbunan konkrit bekas lantai pondok bas yang dirobohkan pekerja LIGS.
TAMPARULI: Lebih 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Damit, di sini hilang tempat berteduh ketika pulang dari sekolah apabila pondok menunggu kenderaan yang dibina berhampiran sekolah itu dirobohkan pekerja Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), baru-baru ini.Tindakan beberapa pekerja LIGS Tuaran menggunakan jentolak merobohkan binaan itu mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk serta ibu bapa murid terbabit.
Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Sungai Damit, Ramlee Mat, berkata kemudahan itu turut digunakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Damit dan penduduk setempat bagi menunggu kenderaan.
"Apa yang tinggal hanya timbunan konkrit bekas lantai pondok yang dibiar di tapak kemudahan itu," katanya yang membawa Berita Harian melihat sendiri sisa kemudahan itu, kelmarin.
Berita Harian mendapati, murid SK Sungai Damit terpaksa berpanas menunggu kenderaan di timbunan konkrit ketika pulang sekolah.
Ramlee mengakui pondok menunggu kenderaan itu dibina di tapak milik LIGS dengan persetujuan pengurusan agensi kerajaan negeri itu sedekad lalu.
Katanya, persoalan timbul apabila LIGS secara tiba-tiba merobohkan kemudahan itu tanpa memaklumkan kepada PIBG SK Sungai Damit.
"Kami terkejut dan kesal dengan tindakan pekerja LIGS Tuaran merobohkan pondok menunggu kenderaan itu tanpa berbincang," katanya.
Beliau berkata, pondok menunggu yang sering dijadikan lokasi segelintir remaja kampung melepak mungkin menjadi punca LIGS bertindak merobohkan kemudahan itu.
"Jika itu alasannya, saya rasa ia kurang wajar kerana murid menjadi mangsa tindakan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: