Thursday, April 28, 2011

Tukang masak cilik Maggi


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, menjadi juara pertandingan Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini


WALAUPUN tidak mempunyai kemahiran dan teknik masakan yang betul, tetapi ia bukan penghalang kejayaan tiga kanak-kanak cilik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur mencuba nasib dalam Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2011.

Empat menu utama yang disediakan hasil gabungan kreativiti guru dan mereka sendiri telah dinobatkan sebagai juara sekali gus menewaskan 10 sekolah lain di sekitar Wilayah Persekutuan.

Salah seorang anggotanya, Nor Liyana Ahmad Zaini mengakui, mereka hanya mengambil masa lima hari untuk membuat persediaan dan persiapan memasak resipi menggunakan produk Maggi.

“Walaupun pada permulaan kami agak takut untuk memasuki pertandingan ini, tetapi hasil dorongan dan bantuan dari guru-guru telah membawa kami kepada kejayaan ini,” katanya.

Volcano Crystal D’arca, Millenium Rainbow Briyani Pineapple Delight, Grilled Chicken with Maggi Sensation dan Hungarian Dragonballs with Deliciouse Sauce merupakan menu bertuah, disediakan Nor Liyana dan dua lagi rakannya iaitu Syarapina Mohd. Rapi dan Nor Ashfareena Ibrahim.

Sementara itu Eksekutif Chef Muluk Ramly yang mengadili pertandingan mengakui persaingan untuk memilih gelaran juara agak sukar.

“Kesemua penyertaan pada kali ini memenuhi kriteria dan tema yang dikehendaki.

“Kami mencari pemenang berdasarkan kelainan yang ditonjolkan dalam masakan terutama sekali daripada aspek rasa,” katanya.

Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Peringkat Negeri anjuran Maggi dengan sokongan Kementerian Pelajaran yang dianjurkan setiap tahun bermula 1997 melibatkan dalam pertandingan yang menampilkan 'chef-chef' cilik berusia antara 13 hingga 15 tahun ini.

Peserta hanya diberikan masa 90 minit untuk menyiapkan empat jenis masakan yang bertemakan Hidangan Pengantin selain masa tambahan 30 minit diberikan untuk kategori Chef Muda Maggi Kreatif.

Produk Maggi dan Nestle disediakan kepada para peserta sebagai bahan utama masakan. Mereka dikehendaki mencipta, menulis,dan memasaknya dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan.

Hadiah lumayan disediakan kepada pemenang pertama berupa wang tunai RM 1,000, sijil, medal, piala serta hamper Maggi sekali gus akan mewakili peringkat wilayah sekitar bulan Oktober ini.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan SMK Batu Muda yang menerima wang tunai RM500, sijil, medal dan hamper Maggi manakala tempat ketiga diraih SMK Seri Pantai, yang menerima wang tunai RM300, sijil, medal dan hamper Maggi .

Pemenang saguhati masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM150, sijil, medal dan hamper Maggi.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: