ROBOH...rumah yang dirobohkan MPAJ di Taman Permai Jaya, Ampang, semalam.
AMPANG: Tiga rumah, dua bengkel dan sebuah stor yang didirikan secara haram di Lorong Permai 4/1, Taman Permai Jaya, di sini, dirobohkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat serta Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.
Operasi yang dijalankan di atas tanah milik kerajaan itu dilakukan bagi menaik taraf talian penghantaran TNB dari kawasan Kampung Pandan ke kawasan Ampang East.
Kawasan setinggan itu diduduki sejak 1990-an oleh seorang pesara tentera udara, Abdul Karim Arifin, 60, yang menjadikan tanah itu sebagai tapak semaian bersama rakannya dan mendakwa mereka mempunyai geran bagi menduduki tanah itu dan enggan berpindah walaupun sudah mendapat surat dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bertarikh 3 Januari lalu.
Menurutnya, dia tidak berpindah kerana mahu mendapat kepastian mengenai perkara sebenar dan mendakwa mendapat surat kelulusan menduduki kawasan berkenaan daripada pihak TNB.
Pada masa sama, kawasan itu turut diduduki warga asing dipercayai warga Indonesia yang juga pekerja di tapak semaian milik Abdul Karim. Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membantu TNB dalam menjayakan projek naik taraf berkenaan dan pada masa sama membasmi kawasan setinggan dalam kawasan pentadbirannya.
Menurutnya, pihak MPAJ akan membuat semakan ke atas dakwaan Abdul Karim yang mendakwa memiliki kelulusan menduduki tanah itu dan tindakan sewajarnya akan diambil dengan segera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: