DI SEBALIK wajahnya yang senyum ceria, terselit hati duka lara. Lincah pergerakannya, petah bicaranya itulah cara Sarimah Ibrahim menyorokkan jiwanya yang bergolak.
JAUH di sanubarinya, dia teringin sekali untuk bergelar ibu. Andai dipertemukan jodohnya sekali lagi, Sarimah mengimpikan lelaki yang mampu menjadi seorang bapa yang baik. Dia tidak mahu lelaki yang mendekatinya sekadar untuk suka-suka.
Kenyataan itu seakan-akan membayangkan kesunyian hati wanita yang tinggal di kota ini sendirian kerana keluarganya jauh di Ireland. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia cukup teruja melihat kanak-kanak. Lalu dia mahu lelaki yang mendekatinya memiliki perasaan sama.
“Memang saya mengaku ada yang cuba mendekati tetapi kebanyakan mereka memiliki sikap yang pelik. Apabila mengenali saya, mereka inginkan Sarimah yang mereka lihat di kaca televisyen. Mereka seakan tidak boleh menerima apabila karakter saya bertukar. Saya cuma manusia biasa, ada waktunya saya juga bersedih dan ada ketikanya saya juga boleh marah dan kadang-kadang saya juga sakit.
“Tapi mereka seakan tidak boleh terima. Mereka hanya mahukan Sarimah yang sempurna seperti dalam televisyen. Ibaratnya jika hingus saya meleleh, mereka akan tinggalkan saya. Selalunya hubungan saya dengan lelaki hanya baik untuk tempoh sebulan dua, selepas memasuki bulan kedua atau ketiga, ia akan berakhir.
“Saya memang berharap dipertemukan dengan lelaki yang boleh terima diri saya yang sebenar. Bagaimanapun yang penting sekarang, saya mahukan lelaki yang ikhlas sukakan kanak-kanak supaya dia boleh melayan anak kami dengan baik nanti.
“Saya mengaku sedang berkawan dengan beberapa lelaki, tetapi saya masih perlu mengenali hati mereka,” katanya yang berkata luka hatinya sudah terubat.
Saat rumah tangganya dilanda badai, Sarimah akui dirinya bagaikan orang sasau. Pernah terlintas untuk melakukan tindakan bodoh. Hidupnya seakan kosong, tetapi setelah dua tahun, luka itu sudah sembuh sepenuhnya.
Baru-baru ini, ketika terserempak dengan bekas suaminya, Sarimah tidak mempunyai masalah untuk bertegur sapa. Fikirannya bagai sudah diprogram bahawa lelaki yang berada di depannya itu hanyalah rakan lama, sedangkan sebelum ini mereka pernah berkongsi hidup.
Berikutan pengalaman gagal dalam rumah tangga, Sarimah menjadi tempat peminatnya meluahkan perasaan di laman twitter artis itu. Perkara itu membuahkan idea kepadanya menerbitkan sebuah kapsul berkaitan perhubungan cinta dan rumah tangga yang masih lagi dalam perbincangan.
Semangat bermain teater
BUAT sekian kali, dua wanita ini bakal bergandingan dalam sebuah pementasan yang ditangani penerbit sama CTRA Production. Jika sebelum ini mereka hanya memegang peranan kecil dalam muzikal Tun Mahathir. Kali ini, watak yang diberikan kepada mereka untuk Mak Dara Nyonya lebih besar.
Sekalipun tidak dijanjikan bayaran lumayan oleh penerbitnya Siti Rohayah Attan, namun Sarimah Ibrahim dan Misha Omar tetap berbesar hati menerima tawaran daripada penggiat teater itu kerana mengambil kira pengalaman tidak ternilai yang dapat ditimba mereka.
Bertemu dengan mereka baru-baru ini di majlis pelancaran teater yang bakal mengangkat kisah pengasas jamu terkemuka, Ibu Halimah yang terkenal dengan produk jamu jenama Mak Dara, Sarimah rancak bercerita mengenai cita dan keinginan. Manakala, Misha pula lebih banyak berkongsi kisah kerjayanya.
Kedua-duanya mengaku, semangat untuk bermain teater meluap-luap sejak muncul dalam Muzikal Tun Mahathir.
Sarimah berpendapat kerajaan seharusnya mewujudkan lebih banyak sekolah teater supaya masyarakat dapat mengenali dan mempelajari teater dengan lebih mendalam.
“Selepas muzikal Tun Mahathir, saya seperti diserang penyakit ingin naik pentas teater. Saya beritahu kepada penerbit iaitu Kak Roy (Siti Rohayah Attan), saya mahu berlakon jika ada watak yang bersesuaian dengan saya.
“Kebetulan dua bulan lalu, saya diberikan skrip untuk Mak Dara Nyonya, selepas membaca skripnya, saya amat tertarik kerana akan membawakan watak anak saudara yang gilakan harta.
“Saya tak kisah sekalipun Kak Roy kata tidak mampu memberi kami bayaran yang lumayan. Wang memang penting tetapi ada masanya wang bukan segala-galanya nya kerana pengalaman yang dikutip itu lebih penting buat saya,” katanya.
Mak Dara Nyonya diarahkan oleh Rosminah Tahir akan dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang pada 6-12 Julai. Ia menampilkan dua cerita iaitu mengenai pahit getir hidup Mak Dara serta kisah Nyonya yang pernah dipentaskan sebanyak tiga kali sebelum ini.
Selain Sarimah dan Misha, pementasan itu juga akan dibarisi oleh beberapa wajah lain iaitu Tania Zainal pemegang watak Nyona, Zaifri Husin sebagai Tuan, Khatijah Ibrahim dan Sherry Abdullah. Manakala watak Mak Dara masih lagi dalam proses pencarian.
Bukan anak emas
SELEPAS muzikal Gamat, nama Misha dan CTRA Production bagaikan cukup sinonim. Satu demi satu tawaran diterimanya dari syarikat produksi yang sama, namun Misha menafikan dia anak emas Siti Rohayah.
Biarpun tidak dijanjikan bayaran yang lumayan, seperti Sarimah, Misha juga tidak mengharapkan semua itu.
Kata Misha, jika hati tidak ikhlas, jangan melangkah ke dunia teater kerana pentas teater bukan medan untuk membuat duit, sebaliknya ia menjadi tempat untuk menggali ilmu dalam bidang lakonan.
“Saya akan terus berlakon dan berlakon, saya tidak kisah mengenai soal bayaran. Bagi saya, pelakon teater lebih jujur kerana apabila terjun dalam bidang ini, kami perlu korbankan segala-galanya. Ini disebabkan kebanyakan waktu dihabiskan untuk sesi latihan menyebabkan kami tidak boleh menerima tawaran lain dalam satu masa.
“Walaupun pernah melalui pengalaman yang kurang menggembirakan tetapi saya tidak akan sesekali serik. Saya anggap apa saja pengalaman pahit yang pernah saya lalui sebagai satu proses pembelajaran,” kata Misha yang juga akan memegang watak anak saudara untuk naskah Nyonya nukilan Wisran Hadi.
Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini turut memberitahu, jadualnya hingga hujung tahun ini sudah pun padat terisi. Mei ini, dia akan kembali sibuk di studio untuk merakamkan lagu bagi album keempatnya. Manakala latihan untuk pementasan ini pula akan menyusul pada Jun sebelum pementasannya pada Julai nanti. Single pertamanya pula dijangka akan mula dapat didengari selepas Aidilfitri nanti
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: