![]() |
| Dr. Rosli Mat Hassan (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM50,000 kepada Mohd. Fadzil Abd. Rahman bagi menjayakan Program Kembara Pemimpin Mahasiswa Menyusur Sungai Rajang di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. |
DALAM usaha melahirkan pemimpin masa depan yang disegani dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan berkualiti, mahasiswa masa kini perlu mendekatkan diri dengan masyarakat dan mempelajari bagaimana untuk membangunkan mereka.
Bantuan tidak kira dalam apa juga bidang terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik di kawasan-kawasan pedalaman seharusnya diberikan fokus utama dalam menjayakan usaha murni ini.
Dengan kesedaran itu, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan melaksanakan Program Kembara Pemimpin Mahasiswa Menyusur Sungai Rajang bagi memberi pendedahan kepada pelajar universiti ini untuk membantu masyarakat di kawasan pedalaman.
Program yang akan dimulakan dalam masa terdekat itu bertujuanmemberi peluang kepada para pemimpin muda ini merasai sendiri dan menyelami kesusahan masyarakat di kawasan terpencil dan memberi bantuan kepada mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, Profesor Madya Mohd. Fadzil Abd. Rahman berkata, para pemimpin masa hadapan perlu dilatih dari peringkat universiti lagi.
"Sifat kepimpinan ini perlu ada dalam setiap diri pelajar kerana ia begitu penting untuk perkembangan dan dan kematangan minda mereka.
"Dengan mendekatkan diri dengan masyarakat juga, para pelajar akan mengetahui dengan lebih dekat tentang masalah yang dihadapi oleh mereka serta akan berusaha untuk menangani masalah tersebut dengan jayanya," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pemimpin Muda Unimas bertempat di Dewan Unimas, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi YPM, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan yang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi menjayakan tersebut.
Menurut Mohd. Fadzil, program tersebut diharap dapat membantu keluarga kurang berkemampuan di sepanjang Sungai Rajang dalam pelbagai aspek termasuklah pendidikan.
"Para pelajar yang terlibat juga diharap dapat memberikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat di kawasan berkenaan serta mengambil peluang untuk menggalakkan anak-anak kecil untuk belajar.
Sementara itu, Dr. Rosli berkata, YPM sentiasa menyokong usaha kerajaan serta membantu dan menambah baik setiap kekurangan yang terdapat dalam bidang pendidikan bagi membangunkan mutu pendidikan negara.
"Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang tinggi bagi bidang pendidikan setiap tahun.
"Ia perlu digunakan dengan cara yang betul serta disalurkan kepada semua pihak dengan lebih menyeluruh termasuklah kepada masyarakat di kawasan pedalaman.," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: