Monday, April 11, 2011

Sayangi hutan paya bakau


SEBAHAGIAN mahasiswa Unirazak membersihkan kawasan dan menanam pokok paya bakau di Pusat Interpretasi Alam Sekitar (EIC) - Sepang Goldcoast, Sepang, Selangor baru-baru ini.


HUTAN paya bakau amat penting dalam mengimbangi ekosistem bumi dan memberikan pelbagai faedah kepada manusia.

Namun begitu, ia kini diancam kemusnahan dan kepupusan sama ada berpunca daripada fenomena semula jadi mahupun aktiviti manusia.

Menyedari pentingnya hutan paya bakau kepada alam, pelbagai pihak tampil untuk melindungi dan memulihara sumber alam itu.

Baru-baru ini, seramai 60 mahasiswa Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) menjalankan khidmat komuniti menanam pokok paya bakau di Pusat Interpretasi Alam Sekitar (EIC) - Sepang Goldcoast, Sepang, Selangor.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program sehari itu ialah memungut sampah sarap di sekitar sungai berkenaan, menanam pokok bakau dan mendengar taklimat pengawai hutan daripada EIC.

Walaupun program itu merupakan sebahagian kerja lapangan mahasiswa, namun peluang yang ada digunakan untuk melaksanakan program khidmat komuniti dalam memastikan ekosistem hutan paya bakau di Selangor terpelihara.

Pengarah Program, Muhammad Saiful Syafie berkata, program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa Unirazak mengenali flora dan fauna di hutan paya bakau .

"Aktiviti seperti ini, bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat luar, malah memberi pendedahan kepada kami tentang kepentingan menjaga alam sekitar terutama hutan paya bakau.

"Ini merupakan pengalaman yang amat berharga. Selain menjalankan kerja amal, kami juga diberi pendedahan secara terus di tapak hutan paya bakau untuk mengetahui kepentingan ekosistem kepada manusia di samping berpeluang mencari anak benih dan menanam sendiri pokok bakau," katanya.

Muhammad Saiful berkata, program itu juga memberi pengalaman baru kepada mahasiswa antaranya, zon hutan bakau dianggap sebagai zon makanan bagi kepelbagaian spesies dan ia amat kaya dengan khasiat makanan yang datangnya daripada sumber sungai dan laut.

"Jadi, penting bagi kita sebagai mahasiswa untuk menjaga sumber ini dengan lebih baik kerana banyak faedah yang diperoleh daripada sumber tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, program itu juga secara tidak langsung dapat menyumbangkan idea baru dalam pemuliharaan ekosistem hutan paya bakau dan menghasilkan kesan yang lebih baik kepada persekitaran.

"Ini kerana hutan paya bakau mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan pelbagai fungsi bagi mengimbangi ekosistem alam seperti menawarkan sumber makanan dan bekalan air," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: