![]() |
| ZAINI Ujang (tengah) bersama Presiden, Naib Canselor, Rektor dan wakil dari universiti di seluruh dunia menghadiri persidangan Forum Presiden Universiti Bagi Rangkaian Akademik Global di UTM, Skudai, Johor baru-baru ini. |
ANTARA kelemahan yang dikenal pasti dalam menjayakan program keusahawanan di negara ini ialah masalah penerimaan ilmu pengetahuan yang masih rendah di kalangan masyarakat.
Hal ini disebabkan terdapat kelemahan dalam menyalurkan bantuan dan pemindahan ilmu kepada kumpulan sasar tersebut, sedangkan ia boleh dilaksanakan sekiranya dilakukan dengan betul.
Sehubungan itu, beberapa pendekatan perlu diberi perhatian dalam memastikan ilmu keusahawanan mendapat panduan yang betul menerusi pengembangan pendidikan di universiti di negara ini.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, universiti dan mahasiswa perlu dilibatkan sebagai perancang, pelaksana dan penilai projek supaya tidak wujud jurang perbezaan dalam melaksanakan program akademik bersifat keusahawanan.
"Selama ini kita dapati universiti dan mahasiswa hanya bertindak sebagai penerima sahaja, tidak menjadikan suatu perniagaan dan tidak celik berniaga sebaliknya mereka perlu berfungsi lebih daripada itu.
"Oleh yang demikian UTM telah melaksanakan lima teras strategik dan salah satunya memajukan konsep universiti penyelidikan berteraskan keusahawanan.
"Konsep ini berteraskan keusahawanan inovasi dari segi suasana kerja dan ekosistem intelektual yang mengalakan semangat dan minda keusahawanan" katanya ketika ditemui pada Forum Presiden Universiti Bagi Rangkaian Akademik Global sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-46 baru-baru ini.
Seramai 20 Presiden, Naib Canselor, Rektor dan wakil dari universiti di seluruh dunia menghadiri persidangan tersebut.
Forum tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama di kalangan universiti terlibat dan membincangkan isu-isu berkaitan dengan pengajian tinggi.
Antara topik yang dibincangkan termasuklah pengantarabangsaan program akademik, penyelidikan dan pembangunan, mewujudkan daya saing di peringkat antarabangsa dalam pengajian tinggi di peringkat global.
Sempena majlis tersebut, UTM turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan dua buah universiti antarabangsa.
Universiti berkenaan ialah Institut Pertanian, Bogor Indonesia dan Universiti Tehran, Iran.
Zaini berkata, pemikiran keusahawanan perlu difahami dalam konteks berkerja sebagai komuniti akademik untuk berkhidmat secara lebih proaktif, kreatif dan inovatif menggunakan seluruh sumber yang ada tanpa terikat kepada dana kerajaan.
Menurut beliau, ini termasuk menyedia dan melaksanakan program akademik yang mengalakan interaksi langsung dengan persekitaran kerja.
"UTM mengalakan setiap program dan aktiviti universiti mesti melibatkan usaha keusahawanan atau perniagaan dalam menjayakan sesuatu program itu.
"Pelajar juga ditekankan untuk memikirkan bagaimana untuk mencari modal yang mampu menampung dana aktiviti persatuan dan kelab.
"Sebagai contoh sekiranya kos pengurusan perbelanjaan pelajar itu dianggarkan RM3,000 seorang dalam satu program, UTM hanya memberi RM1,000 sahaja sebagai modal. Bakinya RM2,000 terpulang kepada pelajar atau kakitangan itu untuk memikirkan perniagaan atau program keusahawanan bagi mencari dana bagi menampung sebahagian daripada jumlah kos tersebut," katanya.
Zaini berkata, dalam usaha meletakkan universiti penyelidikan ini berteraskan keusahawanan, pengurusan universiti turut memainkan peranan melalui perkongsian pintar bagi mendapatkan pembiayaan projek pembangunan akademik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: