![]() |
| |
SUKAN tomoi atau muay Thai adalah satu cabang seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan seperti tangan, siku, kaki dan lutut dalam mencari sasaran untuk menjatuhkan lawan.
Berasal dari Thailand, sukan tomoi telah banyak melahirkan jaguh yang mampu memberi tentangan ketika beraksi di atas gelanggang.
Nama-nama seperti Chepa Somadi, Wan Jaafar Tok Raja Geting, Husin Bidah, Cikgu Harun Pohon Tanjung, Dollah Kuda Kayu dan ramai lagi, adalah antara 'anak muay' atau peninju yang digeruni lawan terutama dari negara jiran pada tahun 70-an.
Setelah hampir suku abad berkubur, sukan ini kembali mendapat suntikan semangat lewat tahun 90-an dan mula mendapat tempat di hati masyarakat apabila gelanggang-gelanggang dan pusat latihan tomoi tumbuh bagaikan cendawan semasa musim hujan di seluruh negara.
Senario ini boleh dilihat di mana setiap minggu, perlawanan tomoi yang dianjurkan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat terutamanya di Kelantan.
Menyedari hakikat itu, Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Selayang dengan kerjasama Persatuan Tomoi Gombak dan Persatuan Muay Thai Malaysia akan menganjurkan kejohonan Tomoi GSC Ultimate Champion pada 8 hingga 9 April ini di Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.
Pengerusinya, Roslan Basaruddin berkata, bagi menambah tarikan kejohanan, pihak penganjur akan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang dapat menarik minat pelajar sekolah, mahasiswa universiti dan orang ramai yang meminati sukan tersebut.
"Sukan Tomoi mengutamakan ketahanan fizikal yang mampu melatih belia dan mahasiswa untuk bergiat aktif dalam sukan ini.
"Ia juga dapat memberi kesedaran pada golongan belia dan mahasiswa tentang aktiviti yang berfaedah dan menjadi kumpulan belia yang menjadi tulang belakang kerajaan Malaysia," katanya.
Roslan berkata, pada majlis itu Akademi Tomoi (Muay Thai) Belia Selangor turut akan dilancarkan
"Ia akan menjadi titik permulaaan kepada belia di negeri Selangor termasuk mahasiswa untuk terus aktif mengikut minat dan kesukaan mereka khasnya kepada ilmu pertahankan diri.
"Ia juga dapat memberi kesedaran kepada para belia dan mahasiswa betapa pentingnya mewujudkan generasi belia yang sihat fizikal serta mental," katanya.
Penonton - penonton yang ingin menyaksikan sendiri perlawanan ini boleh mendapatkan tiket kejohanan di talian 03-61385808.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: