Monday, April 4, 2011

Din Adam taja 22,500 Utusan Malaysia, agih kepada empat sekolah menengah


DIN Adam (berdiri empat dari kanan) meneliti sisipan ADaP bersama pengetua sekolah dan pelajar di SMK Bukit Besi, Dungun, semalam.


DUNGUN 3 April - Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Datuk Din Adam menaja sebanyak 22,500 naskhah Utusan Malaysia untuk diagihkan kepada empat buah sekolah menengah dalam kawasan khidmatnya sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

Jumlah naskhah itu akan diedarkan pada setiap Khamis di mana sisipan Akhbar Dalam Pendidikan (ADaP) diterbit agar ia dapat dimanfaatkan secara kreatif sebagai salah satu bahan bantu pengajaran dan pembelajaran.

Ia bagi para pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurut Din, sumbangan itu merupakan salah satu pendekatan dalam usahanya untuk bersama-sama melonjakkan pencapaian akademik para pelajar di kawasan pedalaman.

''Impian saya adalah untuk melihat lebih ramai anak Bukit Besi berjaya dan menjadi yang terbaik terutamanya dalam pelajaran. Saya tidak mahu mereka dipandang rendah.

''Iklim yang menyuburkan pencapaian ini cukup baik namun jika tanpa kesepakatan dan rasa tanggungjawab bersama, masa depan anak bangsa kita sukar diramalkan kelak," katanya ketika berucap melancarkan program ADaP di sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi, di sini hari ini dan menyerahkan naskah tajaan.

Naskah itu diserahkan kepada Pengetua SMK Bukit Besi, Md. Nasir Haron; Pengetua SMK Jerangau, Shamsudin Abdul Rahman; Pengetua SMK Kuala Jengai, Osman Omar dan Pengetua SMK Durian Mas, Mohd. Inderan Yacob.

Turut hadir, Pengurus Pembangunan Insan dan Pendidikan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Mukhtar Che Ali; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Azami Mohamad; para pemimpin Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan para pelajar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia kemudiannya, Din menjelaskan, DUN Bukit Besi yang berada dalam kawasan seliaan Ketengah telah melalui proses transformasi melalui penglibatan agensi itu bagi membentuk masyarakat bermaklumat.

Selain itu, beberapa lagi agensi kerajaan turut membantu dan bagi membolehkan usaha bersepadu memperkasakan pendidikan anak bangsa, beliau berpendapat gerakan itu perlu disatukan agar lebih fokus dan tidak bertindih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: