Monday, April 4, 2011

Trend stesen radio tarik pendengar



‘Sertai peraduan kami dengan menjadi peserta bertuah dan anda berpeluang memenangi hadiah wang tunai’. Demikianlah antara hebahan yang sering didengari di corong radio.

Sejak kebelakangan ini, ada sahaja peraduan yang dibuat stesen radio tempatan bagi meningkatkan jumlah pendengar. Bahkan, seolah-olah menjadi satu kemestian apabila stesen radio berlumba-lumba tampil dengan peraduan mereka yang tersendiri.

Bukan saja ‘memancing’ pendengar dengan hadiah lumayan, malah ada yang menawarkan wang tunai sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Kebiasaannya syarat peraduan hanya memerlukan pendengar menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau membuat panggilan. Seterusnya, pendengar yang bertuah berpeluang memenangi hadiah ditawarkan mengikut jenis peraduan yang dibuat.

Sekiranya gagal, ada peraduan yang akan menggandakan jumlah wang tunai menjadikannya semakin banyak.

Akan tetapi, bagaimana pula dengan pendengar? Bagi pendengar yang bertuah, usaha mereka menelefon atau menghantar SMS mungkin berbaloi. Komitmen pendengar lain yang gagal pula hanya menjadi sia-sia.

Itu belum lagi masa yang dibazirkan untuk menelefon atau menghantar SMS. Kelihatannya, peraduan di radio melekakan pendengar yang menyertainya mendorong Sinar Harian mendapatkan pandangan pakar agama bagi menjelaskan hukum menyertai peraduan di radio.

Menurut seorang pendakwah bebas, Ustaz Emran Ahmad berkata, sesuatu pertandingan di stesen radio tidak boleh dijatuhkan hukum haram atau tidak tanpa melihat pengisiannya secara terperinci.

Menurutnya, ini kerana hukum asal bagi sesuatu benda adalah harus jika tidak ada dalil yang mengatakannya haram.

“Bagi memastikan peraduan itu tidak haram, ia mestilah tidak mengandungi perkara yang boleh menjatuhkan haram. Sekiranya peraduan terbabit mempunyai unsur perjudian misalnya, maka secara automatik hukumnya adalah haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, masyarakat perlu menilai sama ada sesuatu peraduan itu mengandungi unsur judi atau tidak. Sifat judi yang pertama adalah ada pertaruhan nasib.

"Jika kemenangan sesuatu peraduan itu berdasarkan usaha atau menggunakan ilmu pengetahuan, maka ia tiada unsur judi. Sementara, sifat judi yang kedua adalah adanya pertaruhan atau cagaran yang boleh menyebabkan kerugian jika kalah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya sesuatu peraduan itu mempunyai unsur judi seperti yang disebutkan, maka peraduan itu haram disertai. Jika stesen radio ingin menganjurkan peraduan, pihak mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan agar ia tidak mengandungi unsur judi dan syubhah.

“Antaranya, mereka perlu memastikan pertandingan dibuat secara adil dan terbuka serta berusaha menjauhi unsur pertaruhan nasib.

“Penganjur juga tidak boleh mengadakan pertandingan yang melibatkan wang pertaruhan. Pertandingan perlulah diadakan secara percuma tanpa yuran penyertaan agar semua orang boleh menyertainya,” katanya.

Menurutnya lagi, sesebuah peraduan juga akan mengandungi unsur judi sekiranya caj yang dikenakan untuk membuat panggilan atau menghantar SMS meningkat berbanding caj biasa sepanjang pertandingan berlangsung.

Selain itu katanya, matlamat dan niat penganjur mengadakan peraduan juga perlu jelas. Sekiranya penganjur menyediakan hadiah dengan niat untuk pesertanya beradu nasib, maka haramlah peraduan itu kerana berunsur judi.

“Begitu juga sekiranya peraduan itu membazirkan masa orang ramai atau peserta menyertainya dengan cara salah seperti menggunakan telefon pejabat untuk menghubungi stesen radio. Jadi, peraduan itu haram untuk disertai,” katanya.

Dalam pada itu, Emran turut menegur sikap masyarakat yang terlampau obses dengan peraduan yang dianjurkan.

“Hal ini terjadi kerana mereka bersikap materialistik hingga mudah dikaburi dengan hadiah wang tunai berpuluh ribu ringgit.

“Saya sarankan agar mereka kembali membaiki akidah supaya mereka tidak hanya memikirkan dunia, sebaliknya lebih mementingkan akhirat,” katanya.

Bagi pendengar stesen radio, Nur Faezah Amir Hassan, 23, dia mempunyai pandangan tersendiri terhadap peraduan yang dianjurkan stesen radio.

“Kalau hadiah yang ditawarkan berbaloi, saya rasa tidak rugi mencubanya. Saya sendiri pernah menyertai sebuah peraduan yang memerlukan pendengar membuat panggilan.

"Walaupun tidak berjaya kerana tidak pernah menembusi talian, namun saya tidak rugi apa-apa. Melainkan peraduan yang menggunakan SMS, sudah tentu terpaksa membayar kos menghantar SMS," katanya.

Bagi Fatin Humairah Zainudin, 17, pula, peraduan di radio hanyalah strategi untuk menarik perhatian pendengar. Saya sendiri tidak pernah menyertai peraduan yang menawarkan wang tunai kerana tidak yakin wang itu akan sampai ke tangan pemenangnya.

"Tidak salah menganjurkan peraduan, cuma saya rasa tidak sesuai menawarkan wang tunai. Mungkin stesen radio perlu menukar bentuk ganjaran seperti pendengar dapat meluangkan masa dengan artis," katanya.

Misyadi Mampusi, 24, pula berkata, dia pernah cuba menyertai sebuah peraduan yang menawarkan hadiah wang tunai anjuran sebuah stesen radio.

"Peraduannya memerlukan saya menghantar SMS pada waktu tertentu. Akibatnya, banyak wang dihabiskan untuk menambah nilai telefon bimbit, tetapi SMS saya tidak pernah terpilih.

"Akhirnya saya berputus asa dan menyesal kerana telah melakukan perkara yang sia-sia,” katanya.

Sementara itu, Wan Nur Syuhada Wan Abdul Halim, 18, berkata, dia seronok mendengar telatah pemanggil yang menyertai peraduan di stesen radio. Sesekali teringin juga menyertainya kerana caranya yang mudah seperti hanya perlu membuat panggilan atau menghantar SMS.

"Namun, saya risau caj yang dikenakan terlalu tinggi,” katanya.

Mohd Yusrizal Md Yusof, 25, berpendapat, pendengar tidak boleh terlalu taksub dan terpengaruh untuk menyertai peraduan di radio kerana boleh melekakan.

"Bayangkan jika seorang pendengar asyik menghubungi stesen radio, sudah tentu banyak masa akan dibazirkan. Lagipun, peraduan sebegini lebih menguntungkan pihak radio berbanding pendengar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: