DALAM ruangan ini kita biasa membaca kisah lelaki menganiaya isteri ataupun teman wanita. Tetapi kali ini saya ingin berkongsi cerita mengapa lelaki bertindak demikian, jika tidak disebabkan adanya tiga insan yang tidak pernah tahu apa itu dosa dan adanya lelaki dayus.'' Demikian cerita Shahrin dalam dua emelnya kepada penulis.
''Mungkin bahasa saya keterlaluan, tetapi itulah cerita yang saya ingin berkongsi dengan pembaca, tentang perangai seorang wanita bernama Erin. Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sanggup mencurahkan kasih sayang kepada teman lelaki yang sudah berkeluarga, semata-mata untuk mendapatkan apa yang diingini. Sedihnya semua ini berlaku dengan pengetahuan suami Erin.
''Bagi saya suami Erin dayus. Cerita yang ingin saya kongsi ini berlaku di kalangan guru-guru- kerjaya yang paling dihormati masyarakat.
''Gaya dan penampilan Erin nampak baik dan penuh sopan santun. Berumur lewat 20-an dan dia rakan kami sebagai pendidik. Namun saya pelik kerana Erin suka bergayut di telefon walaupun semasa bertugas.
''Pada awalnya saya tidak mengesyaki yang buruk, namun setelah tahu cerita Erin sebenar barulah saya tahu hobi Erin nombor satu ialah bergayut bersama teman lelakinya atau Teman Tapi Mesra (TTM).
''Apa sahaja yang diinginkan oleh Erin akan lelaki itu tunaikan termasuk memasukkan ribuan ringgit ke akaun Erin supaya dia boleh membeli apa yang dihajati.
''Suami Erin berpendapatan sederhana atau mungkin lebih rendah daripada pendapatan Erin sendiri. Sebab suaminya sering mengadu dan mengeluh kepada kami dia selalu 'kering'.
''Nak kata pula pendapatan Erin lebih tinggi daripada kami lagi mustahil, kerana sebagai seorang guru sudah tentu saya boleh meneka pendapatan Erin berdasarkan taraf pendidikan dan usianya yang belum sampai 30 tahun.
''Oleh kerana tugas sebagai pendidik ini dipandang mulia oleh masyarakat, jadi kami tak mahulah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga, semata-mata disebabkan kerenah guru yang amat memalukan.
''Tidak kami nafikan dia antara wanita yang mendapat kurniaan yang sungguh besar daripada Allah, mempunyai raut wajah menarik, warna kulit cantik, serta bentuk badan diminati oleh kaum lelaki, dan dicemburui wanita.
''Jika kita kaji secara terperinci gaji seorang guru memang tidak mampu untuk Erin memiliki kemewahan melampau berbanding rakan-rakan lain. Hinggakan kehadirannya menjadi cacian bukan sahaja kepada dirinya, tetapi kepada suami Erin sendiri hingga ramai menggelarkannya dayus.
''Lebih menghairankan bagaimana suami Erin boleh membenarkan isterinya menerima hadiah daripada lelaki lain!
''Apakah kerana suami Erin tidak mampu mengadakan kehendak isterinya untuk hidup mewah, maka dia sanggup diamkan diri melihat sahaja isterinya memperagakan tubuh badan dan kecantikannya bagi mendapatkan kemewahan daripada lelaki lain? Jika itu matlamatnya, memang suami Erin dayus.
''Sebagai suami dia patut mengingatkan Erin tentang tugas dan tanggungjawabnya, dan lebih penting hiduplah cara sederhana. Bukan bermewah-mewah jika diri sendiri tak mampu. Erin juga mesti disedarkan bahawa dia wajib mendengar dan mematuhi suaminya, bukan lelaki lain. Biarpun suaminya miskin.
''Ada rakan-rakan seangkatan Erin memberitahu, selepas lulus menjadi guru, Erin dihantar bertugas ke Sabah. Sebelum pergi Erin telah ditunangkan.
''Tidak berapa tahun di sana Erin kembali ke Semenanjung dengan alasan paling menghairankan, bahawa dia terkena ilmu hitam.
''Kini, setelah mengetahui perangainya, maka tidak mustahil Erin ditimpa masalah tersebut, mungkin semua itu angkara tindak- tanduknyasendiri.
''Kalau bercakap pasal pakaian, Erin memang terkenal suka menggayakan pakaian mengikut bentuk badan, ketat dan seksi. Dia langsung tidak hormati etika berpakaian ke sekolah.
''Bukan semua guru setuju dengan cara Erin berpakaian, ada guru cuba menegurnya dan menasihatinya, maklum kita pendidik menjadi tontonan pelajar selain ibu bapa yang datang berurusan ke sekolah.
''Malangnya guru tersebut jadi musuh ketat Erin. Bagi pakaian adalah hak peribadi. Orang lain jangan peduli.
''Ada juga ibu bapa melahirkan rasa kurang senang apabila mereka terserempak dengan Erin semasa berurusan di sekolah. Mereka melihat dengan tanda-tanya, apakah itu gaya berpakaian ke sekolah atau ke majlis khas. Apa pula tindakan pihak sekolah.
''Terbaru Erin menyertai pertandingan memperagakan tudung lebih kurang fesyen bertudunglah. Bila melihat gaya Erin, barulah kami faham mengapa Erin tidak mahu menambah zuriat, jelas dia lebih pentingkan bentuk badannya daripada anak. Jika beranak lagi pasti bentuk badannya berubah dan tidak seksi.
''Pernah dulu sekolah mengadakan malam amal. Erinlah guru pertama bermati-matian membuat persediaan untuk majlis tersebut. Pakaiannya untuk majlis itu mencecah seribu ringgit. Sudah pasti dia dapat bantuan kewangan daripada teman lelakinya.
''Kata Erin lagi, temannya juga menghadiahkan I-pad, bunga, duit, pakaian dan macam-macam lagi. Menurut ceritanya, temannya itu seorang pensyarah di Johor.
''Jelas dunia sudah akhir zaman, bagaimana suami jadi dayus seperti ini. Saya juga pelik apa perasaan suami Erin yang tahu perbuatan isterinya, tapi dia boleh mendiamkan diri dan membiarkan sahaja apa yang Erin lakukan, hingga tidak mahu menambah jumlah anak kerana takut bentuk badan berubah dan tidak menyelerakan temannya nanti.
''Kepada suami Erin dan para suami seangkatan dengannya, insaflah, berubahlah, jangan ada kawan yang hanya senyum di depan tetapi mencemek anda di belakang. Kawallah isteri anda dan hiduplah seadanya mengikut kemampuan anda.
''Jangan jual isteri untuk kesenangan dan kemewahan hidup.'' Demikian cerita Shahrin tentang rakan seperjuangannya yang disponsor oleh TTM untuk hidup bergaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: