Sunday, April 10, 2011

Belut pelbagai hidangan




MUNGKIN ada yang membuat reaksi 'geli' apabila berbicara mengenai belut. Apatah lagi untuk mencuba hidangan yang boleh dianggap eksotik itu, pasti ramai yang mengelaknya.

Namun yang pasti, cuba dahulu baru tahu. Rasa belut sebenarnya tidaklah terlalu 'teruk' seperti yang anda sangka. Malahan, keenakannya tak ubah seperti kebanyakan ikan air tawar yang lain.

Restoran Kelantan Delight mungkin boleh dikatakan satu-satunya restoran yang menghidangkan masakan belut dalam pelbagai jenis masakan di ibu kota.

Pemiliknya, Juhaidi Yean Abdullah berkata, pihaknya menghidangkan 10 jenis masakan belut untuk dicuba para pengunjung.

"Belut yang kami hidangkan tidak hanyir, sesuai untuk mereka yang pertama kali mencuba hidangan ini," katanya.

Isi belut direbus dan dijadikan kuah laksam, itu antara jenis hidangan yang disukai pengunjung.

Rasanya tidak banyak beza dengan laksam dari kuah ikan. Mungkin jika tidak dimaklum, anda pasti tidak tahu ia sebenarnya laksam belut.

Selain itu terdapat belut dimasak sup, kari, masak lemak daun kaduk, pok teik (tom yam putih) dan asam pedas.

Bagi yang gemar masakan bergoreng, belut goreng cili kering diminati ramai, atau boleh juga mencuba masak masam manis, padprik dan berempah.

Kelantan Delights yang telah bertapak hampir 14 tahun sejak di premis KLCC sehingga berpindah ke Sooka Sentral sememangnya menjadi tumpuan pengunjung yang mahu menikmati masakan dari negeri Cik Siti Wan Kembang dalam suasana eksklusif.

Dengan dekorasi baru yang lebih menarik, pastinya ia memberi pengalaman menjamu selera cukup bermakna untuk semua.

Menurut Juhaidi lagi, pihaknya juga akan membuka cawangan di Subang Jaya tidak lama lagi. Pembukaan tersebut merupakan satu langkah dalam usaha memfrancais jenama Kelantan Delights.

"Walaupun begitu, dapur pusat masih kekal di Sooka Sentral kerana kami mahu mengekalkan standard masakannya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: