|
|
MENGUNJUNGI sebuah salun atau spa di tengah kota raya seringkali menjadi impian mereka yang ingin membelai tubuh. Bayangkan suasana nyaman diiringi aroma terapi sambil diurut oleh pakar setelah penat bekerja seharian. Asyik bukan? Ditambah pula dekorasi yang cantik dengan layanan dan rawatan yang bagus pasti membuatkan pelanggan datang semula.
Lazimnya dekorasi salun atau spa menggunakan kayu kerana kayu dilihat sinonim dengan pusat kecantikan. Keindahan kayu dan warnanya yang senada dengan alam semula jadi menjadikannya sesuai dengan dekorasi dalaman mahupun luaran.
Keindahan dekorasi menggunakan kayu boleh dilihat jika kita berkunjung Embunseri Beauty & Spa yang terletak di Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Dari jauh kita hanya melihat kawasan bangunan perniagaan tanpa menyedari adanya pusat kecantikan yang indah dan nyaman.
Setelah melangkah masuk di sini, anda pasti akan melihat kebanyakan bahan dekorasinya menggunakan kayu.
Walaupun rekaan kayunya ringkas dan moden namun dengan sedikit sentuhan ukiran yang mudah, ia memberikan daya tarikan tersendiri kepada pusat kecantikan ini.
Bertindak sebagai pusat kecantikan dan spa, Embunseri menyediakan pakej rawatan muka dan badan, pakej perkahwinan dan langsing badan.
Pada pintu masuk pusat kecantikan ini terdapat hiasan ukiran disusun dengan batu putih menyambut kehadiran pelanggan.
Ruang tempat duduk pula banyak menggunakan kerusi kayu yang mempunyai ukiran cantik dan klasik.
Turut dapat dilihat ialah ukiran meja kecil yang juga boleh dijadikan tempat menyimpan barang yang berada di setiap bilik rawatan.
Melangkah ke ruang tengah, tersedia sudut kecil yang santai bagi rawatan kuku kaki dan tangan. Sebuah kerusi kayu rehat diletakkan di hadapan kerusi kayu panjang tempat pelanggan duduk sebelum rawatan kuku kaki dimulakan.
Sambil asyik kaki dibelai, pelanggan dapat menikmati keindahan hiasan kayu-kayu yang kecil tersusun rapi di meja.
Laluan utama ke bilik-bilik rawatan dihias dengan lilin-lilin kecil beraroma dengan suasana redup.
Suasana salun semakin terasa damai tatkala menjenguk bilik rawatan urutan dan sauna yang turut dihiasi dengan elemen kayu. Disesuaikan dengan kain batik sebagai alas katil rawatan, bilik rawatan ini membuatkan anda terlena semasa rawatan dilakukan.
Bilik saunanya pula walaupun kecil namun tetap dihias dengan lilin wangi dan bunga-bunga berwarna-warni.
Di bilik urutan pula, anda disambut dengan hiasan bunga segar yang memberi kenyamanan.
Penyediaan bilik ini amat ringkas namun ciri-ciri klasik yang digabungkan bersama elemen tradisional dan moden menyerlahkan fungsi sebenar ruang ini.
Menghilangkan keletihan
Jari-jemari pakar urut profesional yang melegakan dengan bantuan pembaringan istimewa daripada tilam khas pasti membuatkan pengunjung terlena.
Malah penyediaan minuman Crysella Delima Colustrum merupakan satu kelainan untuk meraikan tetamu sebelum dan selepas membuat rawatan di sini.
Minuman berperisa delima ini diperkaya dengan ekstrak astaxantin khusus untuk kesihatan, kecantikan dan mengekalkan tubuh badan langsing.
Lengkapkan rawatan anda dengan berendam di dalam tab mandian susu bersama kelopak bunga mawar.
Suam air rendaman yang diisi di dalamnya seramik ditempah khas dari luar negara memberi kesan positif dalam menghilangkan keletihan tubuh.
Dalam pada itu, lokasi Embunseri yang strategik terletak di pinggir bandar Shah Alam ternyata tenang kerana hingar-bingar kenderaan tidak langsung menggugat ketenteraman pengunjung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: