TAMPAN...barisan model lelaki pada majlis pelancaran F&F di Kuala Lumpur 5 April lalu.
MENARIK, anggun, menyerlah, itulah tiga perkataan yang dapat menggambarkan himpunan terkini F&F yang dipertontonkan kepada media sempena Stylo Fashion Grand Prix, 5 April lalu.
Pada malam itu, lebih 60 padanan pelbagai tema digayakan peragawati dan peragawan di dalam dewan gah bertemakan merah dan hitam. Bersama iringan muzik rancak dan segar, pentas peragaan silih berganti dengan gaya jalanan model profesional sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
Tumpuan tentunya pada himpunan musim luruh dan bunga 2011, digayakan barisan supermodel antarabangsa dan tempatan antaranya Tengku Azura dan Elaine Daily.
Membuka tirai pertunjukan, himpunan segar gaya Grace Kelly, Marrakesh dan South Pacific diterjemahkan menerusi padanan gaun pendek berbunga dan polos.
Kemudian diteruskan pada segmen seterusnya berkonsepkan Hula Girl, Sorbonne, Colour Code, Nomadic Traveller dan Paradise Lost dalam gaya santai dan sederhana serta sesuai dipakai sesiapa saja bagi menampilkan imej segar kepada si pemakai.
Bukan itu saja, bagi penggemar himpunan yang punya kelas ke pejabat, F&F menampilkan kepelbagaian gaya sama ada untuk lelaki mahupun wanita. Padanan jaket, kemeja dan seluar ditampilkan ringkas, namun mampu menyerlahkan ketampanan lelaki manakala wanita ringkas bergaya dengan padanan blaus, skirt dan seluar berwarna lembut.
Untuk gaya santai, padanan gaun labuh, blaus dan skirt serta legging berbunga pastinya mencuri tumpuan. Didatangkan dengan rona lembut setiap padanan menampilkan gaya berbeza sama ada ke majlis rasmi atau kasual.
Mula dikenali di United Kingdom pada 2001, singkatan F&F yang membawa maksud Florence and Fred kini menjadi pilihan nombor satu wanita.
Dikatakan seorang daripada empat wanita memilih F&F sebagai jenama pilihan mereka dan Malaysia dipilih menjadi negara ke sembilan selepas kejayaan di beberapa negara seperti Hungary, Turki, China, Korea dan Thailand.
Malah, ketika Persidangan Minggu Peruncit di London, Ketua Pegawai Eksekutif Tesco United Kingdom, Terry Green berharap dalam jangka masa lima tahun F&F akan menjadi jenama fesyen terbesar dunia sama ada untuk lelaki, wanita mahupun kanak-kanak.
Selain rekaan yang versatil, F&F sentiasa memahami kehendak pengguna yang inginkan barang berkualiti pada harga murah.
Justeru, kehadiran F&F diharap dapat membuka lembaran baru dalam dunia fesyen, sekali gus menjadikan wanita dan lelaki bijak bergaya. F&F kini boleh didapati di semua rangkaian Tesco seluruh negara pada harga bermula RM29.90 ke atas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: