SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, demam muzik popular Korea atau K-Pop di kalangan penggemar muzik di Asia semakin menjadi-jadi. Bahkan ia bagaikan sudah berbudaya di kalangan generasi muda hari ini. Negara kita tidak terlepas daripada terkena tempias pengaruh muzik artis solo mahupun berkumpulan dari Korea Selatan.Ditambah dengan kewujudan media baru, pengaruh K-Pop makin cepat menular ke seluruh benua ini, bahkan sebahagian bakat dari negara berkenaan sudah pun melangkah lebih jauh hingga ke Amerika Syarikat dan Eropah. Rain dan Wonder Girls, umpamanya, sudah memahat nama mereka di persada seni Amerika.
Dua dekad kemudian, pelbagai nama dan bentuk muzik menghiasi dunia muzik negara terbabit. Semuanya tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, dek fenomena yang sememangnya banyak mendatangkan laba buat artis dan syarikat yang menaungi mereka. Kumpulan Big Bang, sebagai contoh, dilaporkan mampu memungut sekitar RM50 juta pada 2007.
Maka tidak hairanlah apabila syarikat besar seperti S.M. Entertainment, YG Entertainment, DSP Entertainment dan JYP Entertainment sanggup berbelanja besar untuk merekrut, melatih, seterusnya memasarkan produk menguntungkan ini.
Difahamkan, paling kurang syarikat terbabit mengambil masa selama dua tahun untuk mencipta seseorang bintang atau sesebuah kumpulan, bagi memastikan nama mereka benar-benar melekat di hati peminat sebaik saja single atau album mereka dipasarkan.
Walaupun impak K-Pop kuat dirasa di negara seperti Jepun, Thailand, Malaysia dan Singapura, pengaruhnya dikatakan turut dilihat sehingga ke Australia. Bahkan negara Afrika Utara dan Asia Barat tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.
Tiga tahun lalu, kumpulan Wonder Girls muncul artis Korea pertama yang berjaya menempatkan diri dalam carta 100 Lagu terhangat Billboard di Amerika Syarikat menerusi single Nobody. Pada tahun lalu, artis solo, Taeyang dan sebuah lagi kumpulan yang dianggotai penyanyi perempuan, 2NE1, turut tersenarai dalam pelbagai carta di negara itu dan Kanada.
Pada tahun ini pula, album kumpulan Big Bang berjudul Tonight menjadi album K-Pop pertama yang menembusi kedudukan 10 terbaik dalam carta iTunes dan muncul satu-satunya album bukan Inggeris dalam senarai Top 100.
Dalam usaha mereka mengetengahkan lagi bakat dari negara terbabit, syarikat yang menaungi artis Korea ini menggunakan pendekatan kerjasama bersama artis luar. Di Amerika Syarikat umpamanya, artis Korea menyertai siri jelajah dengan beberapa kumpulan muzik terkemuka seperti Jonas Brothers, serta mengadakan kolaborasi bersama penerbit unggul termasuk will.i.am, Rodney Jerkins dan Kanye West.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: