Saturday, April 2, 2011

Siti Nor Bahyah, suami gaduh-gaduh manja


BERKAHWIN dalam usia muda pada 1986, pasangan Siti Nor Bahyah Mahmood Mahamood dan Wan Akashah Wan Abdul Hamid sentiasa bahagia bersama empat cahaya mata. Mereka juga baru menimang cucu pertama yang kini berusia dua tahun.


KESERASIAN antara kedua-duanya jelas terpamer tatkala mereka bersama. Bukan sahaja dari segi komunikasi malah mereka juga merupakan pasangan yang romantik.

Menyingkap kembali perkenalan antara mereka, menurut Pengarah Eksekutif SNB Kasih Training & Consultancy, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, beliau dan suami, Wan Akashah Wan Abdul Hamid sebenarnya saling memuji antara satu sama lain ketika di bangku sekolah.

Dan tanpa disangka akhirnya mereka disatukan pada 13 Julai 1986 ketika masing-masing melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Percaya atau tidak, sepanjang mereka bersama, pasangan yang sememangnya suka bercakap ini tidak pernah sekali pun bergaduh.

Menurut Siti Nor Bahyah, situasi tersebut mungkin rentetan daripada doa dan restu kedua-dua ibu bapa pasangan tersebut.

"Apabila anda tanya saya soalan tersebut, sejujurnya sepanjang perkahwinan, kami tidak pernah bergaduh cuma yang ada hanyalah berbeza pendapat sahaja.

"Tetapi kadang kala ada juga 'gaduh-gaduh manja', merajuk yang memerlukan perhatian, itu sahaja.

"Sebab itu saya pelik kenapa ramai pasangan di luar sana sering bergaduh. Setakat ini Alhamdulillah kami saling hormat menghormati antara satu sama lain," ujar anak sulung daripada empat beradik ini.

Untuk itu, jelas anak kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang ini, setiap ahli keluarganya ditekankan dengan nilai-nilai kasih sayang antara satu sama lain.

Ungkapan 'sayang' selalu dilafazkan kepada individu bukan sahaja yang baru dikenali malah turut diajukan kepada kanak-kanak untuk menunjukkan sifat mesra mereka.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkahwinan mereka, Siti Nor Bahyah menyifatkan suaminya seorang yang gentleman dan penyayang manakala Wan Akashah pula memberitahu bahawa isterinya seorang yang cukup sporting.

Saling membantu antara satu sama lain, ia secara tidak langsung memudahkan pasangan ini menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Siti Nor Bahyah pula disifatkan oleh Wan Akashah sebagai seorang individu yang penuh disiplin. Ini jelas kelihatan pada pakaian serta kebersihan rumah yang diuruskan sendiri oleh Siti Nor Bahyah.

Paling menarik untuk dikongsi bersama ialah pasangan ini tidak pernah menggaji pembantu rumah untuk menguruskan rumah tangga malah mereka berganding bahu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Berkahwin pada usia yang cukup muda, pasangan Siti Nor Bahyah dan Wan Akashah bukan sahaja dikurniakan empat orang cahaya mata tetapi telah bergelar 'nenek' dan datuk' apabila dikurniakan seorang cucu perempuan yang berusia dua tahun.

Yang pasti, pasangan ini cukup bahagia bersama anak-anak, menantu dan cucu sekali gus menjadi idola setiap pasangan di luar sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: