![]() |
| TAMAM Idris dan isterinya, Mariaty Hussin di hadapan Pondok Impian Resort yang mereka diami di Janda Baik, Pahang sejak tujuh tahun lalu. |
TAHUN 2007 merubah hidup aktor veteran Tamam Idris setelah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Janda Baik, Pahang. Hari ini, pelakon yang berusia 75 tahun itu banyak menghabiskan masanya menguruskan Pondok Impian Resort milik menantunya, Den Wahab.
Rutin hidup Pak Tamam atau nama sebenarnya, Bustamam Idris bermula seawal pagi iaitu selepas waktu subuh.
“Saya mulakan hari dengan memberi ikan makan kerana di hadapan pondok ini, ada sebuah kolam ikan yang agak besar.
“Hati terhibur dan damai tatkala melihat ikan-ikan talapia dan keli melompat menjamah makanan ikan sambil berenang mengelilingi kolam,” katanya kepada S3 ketika ditemui di Janda Baik, baru-baru ini.
Selain memberi makan kepada ikan peliharaannya, bekas pelakon aksi seangkatan dengan Latif Borgiba ini berkata, dia meneruskan waktu paginya dengan melakukan senaman ringan untuk menguatkan urat dan otot tuanya.
Selain itu, aktiviti hariannya akan dipenuhi dengan bercucuk tanam.
“Dulu saya pernah berkebun menanam sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk buah markisa tetapi sekarang tidak lagi.
“Semuanya kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Samalah seperti saya tidak boleh lagi berlakon walaupun ada tawaran.
“Kesan daripada kemalangan yang menimpa saya dahulu, saya menghadapi masalah untuk menghafal skrip.
“Jadi itulah sebabnya saya berhenti terus daripada dunia lakonan,” katanya yang juga banyak menghabiskan masa berehat dan menonton televisyen.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: