Friday, April 22, 2011

Seni rekaan bekas air mawar


Sikat janggut beserta bekas minyak wangi Perak bersadur emas Kerajaan Mughal India Abad ke 17 - 18 M / abad ke 11 - 12 H.


AIR mawar telah digunakan oleh manusia sejak zaman sebelum Masihi. Beberapa tamadun awal yang menggunakan air mawar ialah tamadun India, Parsi, Rom dan Greek.

Air mawar boleh dikategorikan sebagai bahan wangian mewah yang digunakan oleh kebanyakan golongan bangsawan. Walaupun bunga mawar senang diperolehi tetapi proses pembuatan untuk mendapatkan estrak bunga mawar adalah rumit. Sebab itu ia mempunyai kedudukan yang istimewa. Ia sering diletakkan di dalam bekas khas yang mempunyai reka bentuk tersendiri.

Dalam satu kerja cari gali arkeologi yang di lakukan di kawasan Asia Barat, ahli arkeologi menemui bekas-bekas yang diperbuat daripada kaca dan logam yang dipercayai digunakan sebagai bekas minyak wangi dan air mawar.

Bekas minyak wangi terawal yang ditemui dipercayai berasal dari Rom dan diperbuat daripada kaca. Ia mempunyai reka bentuk bulat, nipis dan berleher pendek.

Estrak bunga mawar digunakan sebagai bahan wangian untuk air mandian, minyak wangi, bahan masakan dan juga kosmetik kerana khasiat yang boleh diperolehi daripada wangian bunga mawar.

Antara kebaikan penggunaan air mawar ialah ia sangat sesuai untuk kesihatan dan kecantikan kulit dan rambut. Ia boleh menghilangkan keletihan, dan juga menjadi penawar untuk sakit kepala dan sebagainya.

Salah satu jenis bunga mawar yang digunakan dalam pengekstrakan ialah mawar Damsyik. Spesies bunga mawar itu mempunyai wangian semulajadi yang lembut.

Ia dipercayai tumbuh liar di beberapa kawasan di Asia Barat, Asia Tengah dan India. Spesies bunga mawar itu dipercayai dibawa dan diperkenalkan ke Eropah dalam abad ke-13 dan diberi nama mawar Damsyik yang merujuk kepada kota Damsyik yang merupakan kota Islam ketika itu.

Mawar Damsyik mempunyai banyak kelopak dan susunan lapisan yang rapat serta berwarna merah atau merah jambu.

Selepas kedatangan dan perkembangan Islam, tradisi pemakaian wangian bunga mawar diteruskan oleh masyarakat Islam. Dalam ajaran Islam, umat Islam disunatkan memakai wangi-wangian sewaktu mengerjakan sembahyang terutamanya pada hari Jumaat bagi golongan lelaki khususnya.

Seniman Islam di setiap wilayah Islam telah mereka bentuk bekas air mawar yang unik bagi wilayah mereka. Secara amnya reka bentuk badan bekas air mawar dunia Islam mempunyai perbezaan dengan reka bentuk bekas air mawar kerajaan Rom.

Kebanyakan bekas air mawar dunia Islam berbentuk bundar, leher silinder yang panjang dan mulut yang kecil.

Antara bahan utama yang digunakan dalam pembuatan bekas air mawar ialah kaca, logam dan seramik. Bekas air mawar daripada seramik banyak digunakan di Turki kerana Turki merupakan pusat pengeluaran seramik Islam yang terunggul selama lebih kurang 300 tahun. Bekas daripada kaca pula banyak dihasilkan di Syria dan di Mesir.

Di India kebanyakan bekas air mawar diperbuat daripada logam seperti perak atau keluli dan menggunakan teknik hiasan bidri, ukiran atau enamel.

Rekaan bahagian leher bekas air mawar dari India juga menarik dengan ciptaan yang berjalin. Satu lagi rekaan menarik dari India ialah bekas wangian untuk janggut. Ia mempunyai dua fungsi iaitu sebagai sikat dan bekas minyak wangi.

Rekaan bekas air mawar dunia Melayu juga menggunakan bahan yang sama iaitu logam tetapi kebanyakannya diperbuat daripada tembaga. Rekaan bekas air mawar dunia Melayu adalah amat ringkas.

Masyarakat Melayu menggunakan bekas air mawar dalam beberapa majlis keraian tradisional seperti majlis perkahwinan.

Bagi masyarakat Islam minoriti yang tinggal di China, mereka turut menggunakan air mawar dalam beberapa majlis. Bekas air mawar di wilayah ini turut diperbuat daripada seramik tetapi mempunyai hiasan perak sebagai penutup botol.

China juga terkenal dalam pembuatan seramik terutamanya seramik biru putih semasa pemerintahan Dinasti Ming.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: